MELAKA: Seramai 173 mangsa banjir daripada 41 keluarga dari dua daerah masih ditempatkan di tiga buah pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka di negeri ini, setakat pukul 11.30 pagi ini.
Daripada jumlah itu, Jasin mencatat bilangan mangsa paling tinggi iaitu seramai 123 orang daripada 29 keluarga.
Mangsa banjir di daerah itu kini ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Tehel sejak pusat berkenaan dibuka pagi semalam, manakala PPS Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dang Anum telah ditutup pukul 10 pagi ini.
Sementara itu di Alor Gajah, sebuah lagi pusat pemindahan dibuka pagi ini iaitu di Balai Raya Kampung Gadek yang menempatkan tiga mangsa daripada dua keluarga.
Seramai 47 penduduk pula masih berlindung di PPS SK Durian Tunggal berbanding 54 mangsa semalam ekoran banjir yang melanda Kampung Bukit Tambun, Kampung Bukit Balai, Kampung Pulau dan Kampung Belimbing. – UTUSAN ONLINE










