10,128 karton rokok seludup dirampas - Utusan Malaysia

10,128 karton rokok seludup dirampas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAIPING: Polis menahan seorang lelaki dan merampas 10,128 karton rokok seludup bernilai lebih RM400,000 dalam serbuan di sebuah rumah kedai di Jalan Air Kuning di sini hari ini.

Serbuan pada pukul 1.30 petang hasil risikan dan maklumat awam itu dijalankan oleh sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Osman Mamat berkata, dalam serbuan ke atas rumah kedai yang dijadikan gudang itu telah menjumpai 202 kotak rokok pelbagai jenama.

Katanya, 28 karton rokok juga dijumpai di dalam sebuah van jenis Toyota yang disyaki digunakan untuk menghantar rokok seludup kepada pelanggan.

“Lelaki berusia 67 tahun yang ditahan itu adalah pemilik premis berkenaan dan dia menyewakan kedainya kepada individu lain pada kadar sewaan bulanan sebanyak RM2,000.

“Kita telah pun mengenal pasti penyewa tersebut berdasarkan perjanjian sewa kedai dan sedang menyiasat penglibatan pemilik premis itu dengan kes penyeludupan rokok tersebut,” katanya dalam sidang akhbar di IPD Taiping di sini hari ini.

Menurut beliau, modus operandi kumpulan tersebut adalah menghantar rokok yang ditempah ke lokasi yang dikehendaki dengan sebuah van menggunakan nombot plat pendaftaran kenderaan yang berlainan.

Katanya, tindakan kumpulan tersebut menggunakan nombor berlainan itu adalah bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

“Siasatan mendapati suspek mempunyai dua rekod lampau bersabit kes gaduh dan menyimpan barang curi. Ujian air kencing yang dilakukan ke atas lelaki itu pula adalah negatif.

“Permohonan reman ke atas lelaki itu akan dilakukan esok di Mahkamah Taiping bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967,” katanya.

Tambah beliau, premis tersebut didapati telah beroperasi sejak dua bulan lalu dan rokok seludup berkenaan dipercayai untuk jualan di sekitar Taiping. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya