UUM pertimbang kembali terima penuntut 23 Oktober - Utusan Malaysia

UUM pertimbang kembali terima penuntut 23 Oktober

AHMAD Bashawir Abdul Ghani berinteraksi dengan penuntut baharu pada Minggu Suai Kenal secara dalam talian di UUM, Sintok, Kubang Pasu, Kedah, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUBANG PASU: Universiti Utara Malaysia (UUM) mempertimbang untuk kembali menerima kemasukan mahasiswanya pada 23 Oktober ini setelah proses pendaftaran penuntut baharu dan lama secara fizikal ditangguhkan.

Naib Canselor UUM, Prof. Datuk Dr. Ahmad Bashawir Abdul Ghani berkata, tarikh itu bagaimanapun mungkin berubah bergantung kepada keadaan semasa kes penularan Covid-19 di negara ini.

“Seboleh-bolehnya, saya memang mahu mahasiswa ke kampus dan menikmati suasana pembelajaran di sini.

“Namun buat masa ini, kita hanya melaksanakan pendaftaran secara dalam talian dan mereka tidak dibenarkan pulang ke kampus hingga tarikh ditentukan kemudian,” katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu menjawab soalan seorang mahasiswa dalam salah satu sesi sempena Minggu Suai Kenal penuntut baharu semester pertama 2020/2021 yang diadakan secara dalam talian, di sini hari ini.

Ini merupakan julung-julung kalinya UUM mengadakan Minggu Suai Kenal melalui platform digital Facebook dan Youtube bagi memastikan segala maklumat asas berkaitan universiti itu dapat disampaikan kepada mahasiswa baharu berikutan pendaftaran secara fizikal ditangguhkan.

Kemasukan kali ini melibatkan 4,477 pelajar baharu termasuk 50 daripadanya adalah mahasiswa antarabangsa dari beberapa buah negara.

Sementara itu, Ahmad Bashawir berkata, pengurusan UUM juga sedang mempertimbang beberapa perkara yang mungkin dapat membantu mahasiswa sekiranya mereka tidak dapat kembali ke kampus untuk tempoh lebih panjang dari 23 Oktober depan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN