UiTM beri pengurangan yuran konvokesyen - Utusan Malaysia

UiTM beri pengurangan yuran konvokesyen

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Universiti Teknologi Mara (UiTM) memberi pengurangan kos yuran bagi Konvokesyen Ke-92 yang melibatkan 22,834 graduan secara janji temu, Disember ini.

Potongan berjumlah RM40 secara automatik itu meliputi semua graduan sama ada di peringkat pengajian diploma, ijazah dan doktor falsafah (PhD).

Ketua Perhubungan Awam, Media, Protokol dan Pengurusan Acara Jabatan Komunikasinya, Nora Noordin berkata, langkah itu bertujuan mengurangkan beban kewangan yang ditanggung graduan terutama ketika musim pandemik Covid-19.

“Yuran konvokesyen pada setiap sesi yang dikenakan sebelum ini antara RM150 hingga RM230 mengikut peringkat pengajian.

“Namun, kini para graduan hanya perlu membayar yuran tersebut pada kadar antara RM110 hingga RM190,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Tambahnya, pengurusan tertinggi universiti peka dengan situasi semasa dan keputusan pengurangan itu antara pelbagai inisiatif untuk membantu graduan.

“Selain itu, UiTM menyahut seruan Kementerian Pengajian Tinggi yang meminta pihak universiti prihatin dengan situasi penuntut yang terlibat,” katanya.

Sebelum ini, UiTM mengumumkan konvokesyen secara janji temu yang dijadualkan bulan depan ditangguhkan pada 1 Disember ini selepas meneliti keselamatan dan kebajikan semua warga universiti ekoran situasi terkini pandemik Covid-19.

Semua graduan terlibat perlu mengisi dan mendaftar semula untuk tarikh baharu menerusi laman sesawang https://konvokesyen.uitm.edu.my/v1/.

Mereka juga boleh melayari laman sesawang https://konvokesyen.uitm.edu.my/v1/ untuk mendapatkan maklumat terkini sesi penganugerahan itu atau menghubungi pegawai Bahagian Rekod Pelajar dan Konvokesyen melalui talian 03-55443110 atau 03-55443114.

Konvokesyen menggunakan norma baharu menerusi kaedah penganugerahan secara janji temu itu dijangka berlangsung selama dua bulan di 14 kampus UiTM di seluruh negara.

Menerusi penganugerahan itu, graduan masih berpeluang memakai jubah konvokesyen, menerima skrol serta transkrip seperti istiadat konvokesyen secara konvensional dengan gambar mereka akan disatukan dengan gambar penganugerah yang ditetapkan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.