Tidak nampak dari mana nombor Anwar - Utusan Malaysia

Tidak nampak dari mana nombor Anwar

JALALUDDIN ALIAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Dua Ahli Parlimen dari UMNO Negeri Sembilan yakin dakwaan Datuk Seri Anwar Ibrahim mempunyai sokongan cukup untuk membentuk kerajaan baharu sebagai tidak benar.

Justeru, mereka menafikan memberikan sokongan kepada Ketua Pembangkang itu dan mengetepikan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Malah, kedua-dua mereka iaitu Ahli Parlimen Jelebu, Datuk Jalaluddin Alias dan Ahli Parlimen Jempol, Datuk Mohd. Salim Mohd. Sharif mempersoal jumlah sebenar ahli Parlimen yang didakwa menyokong Presiden PKR itu.

Jalaluddin berkata, beliau tidak pernah menyokong Anwar atau mana-mana individu yang ingin menukar kerajaan PN pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Pendirian saya jelas, saya sokong kepemimpinan Barisan Nasional (BN), PN serta Tan Sri Muhyiddin sebagai Perdana Menteri. Tidak ada sebarang sebab mahupun alasan saya memberikan sokongan kepada Anwar bagi menjatuhkan kerajaan yang sudah baik untuk rakyat.

“Sebagai ahli Parlimen, tidak ada sebab untuk kita berfikir bagaimana nak menjatuhkan PN semata-mata untuk memenuhi atau memakbulkan hasrat Anwar yang sejak sekian lama nak jadi Perdana Menteri,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini semalam.

Kelmarin, Anwar mendakwa beliau mendapat perkenan menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustaffa Billah Shah pada 13 Oktober ini.

Menerusi kenyataannya, Anwar berkata, beliau akan mempersembahkan keterangan lengkap mengenai jumlah majoriti ahli Parlimen yang didakwa menyokongnya seperti dinyatakan ketika sidang akbarnya pada 23 September lalu.

Sementara itu, Mohd. Salim berkata, beliau juga tertanya-tanya dengan senarai nama ahli Parlimen yang didakwa memberi sokongan kepada Anwar.

MOHD. SALIM MOHD. SHARIF

Sedangkan, katanya, rata-rata ahli Parlimen daripada BN tetap teguh dengan kerajaan sekarang apatah lagi negara kini sedang berhadapan dengan pandemik Covid-19.

“Tidak ada seorang pun yang menyokong atau menandatangani surat untuk Anwar, saya terperanjat 13 Oktober ini nak menghadap Yang di-Pertuan A­gong. Ini menandakan nombor dia (Anwar) cukup untuk membentuk kerajaan.

“Saya tidak nampak nombor dari mana yang nak dibentuk tu. GPS tidak ada, Pas tidak ada dan UMNO juga tidak ada. Tidak tahu nombor dia dari mana, dari segi mana dia boleh membentuk itu daripada sumber mana kita pun tidak tahu. Saya memang tidak bersetuju dengan tindakan Anwar,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN