KUALA LUMPUR: Idea penubuhan ‘Kerajaan Perpaduan’ sukar direalisasikan selepas tiada objektif jelas dan hanya dilihat lebih kepada permainan politik semata-mata.
Penganalisis politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Dr. Kartini Aboo Talib berkata, langkah tersebut juga dilihat sebagai cara bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk menjadi sebahagian daripada kerajaan.
“Dr. Mahathir menggunakan kelemahan yang ada dalam pentadbiran kerajaan sekarang bagi mewujudkan ‘Kerajaan Perpaduan’.
“Dr. Mahathir panggil dan berbincang semula dengan Tengku Razaleigh Hamzah. Mereka pernah bersama sewaktu UMNO berpecah pada tahun 1987.
“Ini dilihat memudahkan gerak kerja. Tapi yang menjadi masalah, Dr. Mahathir sendiri tidak senaraikan gabungan yang ada dalam ‘Kerajaan Perpaduan’ itu,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.
Beberapa pemimpin politik tanah air sebelum ini dikatakan berbincang ke arah ‘Kerajaan Perpaduan’ menerusi satu perjumpaan di saat Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berdepan pelbagai cabaran banyak pihak yang mempertikaikan kedudukannya sebagai ketua kerajaan.
Dalam pada itu, penganalisis politik Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Dr. Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata, peranan pembangkang amat diperlukan buat masa ini sebagai semak dan imbang terutama selepas permohonan darurat dikemukakan Muhyiddin ditolak.
“Tiada ruang dan peluang untuk menubuhkan `Kerajaan Perpaduan’ walaupun pembangkang sedia berunding dengan kerajaan Perikatan Nasional (PN) berhubung Belanjawan 2021.
“Rundingan secara langsung dan gencatan senjata mahu pun rekonsilasi nasional antara dua blok diperlukan andai `Kerajaan Perpaduan’ mahu ditubuhkan,” jelasnya. – UTUSAN










