KUALA LUMPUR: Ahli-ahli Parlimen pelbagai parti menyambut baik titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah agar menyokong Belanjawan 2021 yang dibentangkan bulan depan.
Timbalan Menteri Kesihatan yang juga Ahli Parlimen Bagan Serai, Datuk Dr. Noor Azmi Ghazali berkata, titah tersebut harus diambil perhatian oleh kesemua ahli Dewan Rakyat supaya memberi sokongan tanpa ada unsur sabotaj sekali gus menjadikan rakyat sebagai keutamaan khususnya dalam memerangi pandemik Covid-19.
“Kebijaksanaan Tuanku terserlah, rakyat terpenting dalam hal ini dan hal politik perlu diketepikan dulu.
“Tidak kira kerajaan atau pembangkang, sokonglah bajet untuk melandaikan lengkuk dan menurunkan kes justeru meringankan beban semua khusus petugas barisan hadapan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Bagi Ahli Parlimen Shah Alam daripada parti Amanah Negara (Amanah), Khalid Abdul Samad, pihaknya turut bersedia menyokong bajet yang dibentangkan tanpa sogokan rasuah dan unsur politik terhadap mana-mana pihak.
“Semestinya kita akan sokong belanjawan yang bertujuan memulihkan ekonomi dan menjamin kesejahteraan kehidupan rakyat. Ke arah itu bajet perlu dibahas dan didebat sebelum disokong.
“Saya cadangkan kerajaan mengambil tahu akan maksud titah Agong dan mulakan hubungan dengan pimpinan semua parti parti politik. Kita mahukan bajet yang baik dan berkesan tanpa adanya unsur-unsur sogokan politik dan rasuah atau sebagainya,” ujarnya lagi. – UTUSAN ONLINE










