SHAH ALAM: Ujian saringan Covid-19 bersasar secara percuma yang dilakukan kerajaan negeri bagi mereka yang baru pulang dari Sabah tamat esok.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, ia bertujuan memberi ruang kepada kerajaan negeri menumpukan saringan bersasar di Mukim Klang yang kini dalam pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
“Bagi ujian Covid-19 mereka yang pulang dari Sabah, seramai 573 individu disaring sejak lima hari bermula Ahad lalu.
“Hasil ujian tersebut, empat kes positif telah dikesan iaitu dua individu dari Gombak dan selebihnya masing-masing satu kes dari Subang dan Puchong.
“Semua yang positif diuruskan oleh Jabatan Kesihatan negeri bagi tujuan pemulihan dan penjejakan kontak. Program saringan bersasar ini berlangsung lagi dua hari sebelum kerajaan negeri menumpu saringan bersasar di Mukim Klang,” katanya menerusi ciapan Twitter.
Difahamkan, ujian saringan bersasar di Mukim Klang bermula esok dan dilakukan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Selangor.
Terdahulu, Amirudin dalam kenyataannya berkata, dalam membantu mengesan jangkitan Covid-19, kerajaan negeri menyediakan saringan bersasar secara percuma kepada seluruh rakyat Selangor yang mempunyai sejarah perjalanan ke Sabah antara 20 hingga 26 September lalu.
Jelasnya, saringan tersebut boleh dilakukan di semua cawangan Selcare Clinic yang merupakan milik anak syarikat kerajaan negeri, Selgate Healthcare Sdn. Bhd.bermula Ahad lepas.
Mereka yang ingin melakukan ujian saringan hanya perlu memberikan dokumen penerbangan pulang dari Sabah serta bukti pemastautin tetap di Selangor seperti bil air dan elektrik. – UTUSAN ONLINE










