fbpx

4 Disember 2020, 7:14 pm

  TERKINI

RM2.9 juta rokok seludup dirampas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR PUTEH: Pasukan Polis Marin ( PPM) Wilayah Tiga Tok Bali berjaya menumpaskan sindiket penyeludupan rokok putih sebanyak 19,600 karton dianggarkan bernilai RM2.9 juta dalam Ops  Benteng Covid  di kawasan hutan bakau, di Sungai Bukit Kluang dekat Besut, Terengganu, pagi ini.

Dalam serbuan pada pukul 5 pagi itu, dua buah lori Nissan yang digunakan untuk membawa rokok keluar dari lokasi berkenaan turut disita. 

Komander PPM Wilayah Tiga, Asisten Komisioner Norzaid Muhammad Said berkata, serbuan dijalankan hasil maklumat awam dan risikan awal anggota PPM. 

Menurutnya, ketika serbuan dijalankan, anggota PPM melihat kelibat beberapa orang dipercayai pemandu dan kelindan lori sedang memunggah barangan ke dalam kenderaan berat itu.

“Kedua-dua lelaki itu bertindak melarikan diri ke kawasan hutan bakau selepas menyedari kehadiran anggota PPM. Tiada sebarang tangkapan dilakukan apabila suspek gagal dikesan. 

“Pemeriksaan lanjut terhadap kedua-dua lori menemukan tiga jenis rokok iaitu jenis NYX Menthol sebanyak 5,100 karton, jenis NYX Filters (4,250 karton) dan John (10,250 karton),” katanya dalam sidang akhbar di Markas Taktikal PPM Tok Bali di sini hari ini.

Norzaid berkata, anggota PPM cuba mengesan pemandu dan kelindan lori itu dalam lingkungan dua kilometer namun tidak berjaya. 

Katanya, anggaran keseluruhan rampasan rokok dan dua buah kenderaan berat itu bernilai RM3.1 juta termasuk cukai Jabatan Kastam Diraja Malaysia.

Tambahnya, penyeludup mencari lokasi yang terpencil dan mengambil kesempatan menjalankan kegiatan mereka ketika air pasang besar untuk  membawa masuk rokok tanpa cukai itu melalui kawasan hutan bakau. 

“PPM percaya rokok ini akan dipasarkan kepada pemborong dan rangkaiannya di Selatan tanahair dan Pantai Barat kerana jenama rokok yang dirampas itu tidak ditemui di pasaran pantai Timur.

 “Rampasan ini adalah  kejayaan terbesar PPM Wilayah Tiga dalam membanteras kegiatan penyeludupan rokok pada tahun ini. Kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967,” katanya. – UTUSAN ONLINE