Rasuah, ketelusan tadbir urus dana Covid-19 agenda tumpuan APEC-ACTWG - Utusan Malaysia

Rasuah, ketelusan tadbir urus dana Covid-19 agenda tumpuan APEC-ACTWG

AZAM Baki mempengerusikan Mesyuarat APEC-ACTWG anjuran SPRM secara maya di Putrajaya, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Agenda baharu menangani rasuah dan ketelusan tadbir urus dana Covid-19 menjadi tumpuan dalam Mesyuarat Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) Kumpulan Kerja Pakar Anti-Rasuah dan Ketelusan (ACTWG) yang bermula hari ini sehingga 23 Oktober ini.

Mesyuarat julung kali dianjurkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu dilaksanakan secara maya berikutan penularan pandemik Covid-19 yang melanda dunia ketika ini.

Menurut kenyataan SPRM, mesyuarat dipengerusikan Ketua Pesuruhjayanya, Datuk Seri Azam Baki itu disertai wakil daripada 21 negara ekonomi APEC yang antara lain membincangkan usaha dan inisiatif pencegahan rasuah di rantau Asia Pasifik.

“Di samping penganjuran ACTWG, SPRM turut menganjurkan mesyuarat Jaringan Badan Pencegah Rasuah dan Agensi Penguatkuasaan Undang-Undang (ACT-NET) yang dihadiri wakil-wakil agensi dan penguat kuasa antirasuah dalam kalangan negara ekonomi APEC.

“Mesyuarat itu membincangkan kerjasama dua hala dalam membanteras rasuah, perdagangan haram dan pengubahan wang haram,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Kata kenyataan itu, selain dua mesyuarat berkenaan, bengkel pembangunan kapasiti turut diadakan bertajuk “Mengungkap ‘Tangan Ghaib’ : Menangani Penyembunyian Pemilikan Berkepentingan” turut diadakan bagi mengupas topik dan isu-isu semasa berkaitan pemilikan benefisiari.

Katanya, penganjuran bengkel itu melibatkan penyertaan penceramah-penceramah dari dalam dan luar negara untuk berkongsi pengetahuan serta kepakaran mereka.

Bagi menjayakan program peringkat antarabangsa tersebut, katanya, Sekretariat APEC SPRM 2020 menjalinkan kerjasama rapat dengan Sekretariat APEC yang berpangkalan di Singapura dan Sekretariat APEC Kebangsaan iaitu Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

Penganjuran Persidangan APEC 2020 pada kali ini adalah kali kedua buat Malaysia selepas menjadi tuan rumah pada tahun 1998. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN