Potong gaji: Amaran kepada majikan! - Utusan Malaysia

Potong gaji: Amaran kepada majikan!

Muhamad Aliffazlan Bahrin melakukan tugasan di komputer ribanya sambil ditemani anaknya, Marissa Irdina di Kampung Bukit Raya, Hulu Langat, semalam. – UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Majikan diberi amaran supaya tidak mengambil kesempatan memotong gaji pekerja mereka yang dikehendaki bekerja di rumah sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di lima negeri mulai semalam.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan menegaskan, PKPB bukan ‘tiket’ kepada majikan untuk melakukan apa sahaja sebaliknya tetap terikat dengan Akta Kerja1955.

Katanya, bayaran gaji adalah seperti biasa dan majikan tidak boleh memaksa atau mengarahkan pekerja menggunakan cuti tahunan ataupun mengambil cuti tanpa gaji.

Katanya, perkara itu selaras dengan perintah dan kenyataan yang dikeluarkan oleh kementerian ketika pelaksanaan PKP seluruh negara pada Mac lalu.

“Namun begitu, majikan boleh berbincang dengan pekerja untuk mencapai keputusan demi kepentingan bersama.

“Sebarang pertanyaan lanjut boleh menghubungi Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) melalui talian 03-8886 2352 / 03-8886 2409 / 03-8888 9111,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) memutuskan untuk mewajibkan sejuta pekerja sektor awam dan swasta bekerja dari rumah bermula semalam sehingga tamat tempoh PKPB melibatkan Se­langor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Sabah dan Labuan.

Sementara itu, Majlis Perhubungan Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC) ketika dihubungi berkata, arahan kerja di pejabat selama empat jam bermula pukul 10 pagi sehingga 2 petang disifatkan sebagai tidak produktif dan menyukarkan pekerja.

Presidennya, Mohammed Shafie BP Mammal berkata, arahan tersebut juga menimbulkan banyak persoalan membabitkan undang-undang pekerja termasuk di bawah Pertubuhan Ke­selamatan Sosial (Perkeso).

Malah katanya, jika dilaksanakan sekali pun, ia dilihat bagai satu ‘kerugian’ kepada syarikat yang terpaksa beroperasi dalam tempoh minimum.

“Sukatan kerja bagi syarikat swasta adalah antara enam sehingga lapan jam, barulah ada produktiviti. Kita juga lihat pelaksanaan ini bagai ada double standard pula antara antara pekerja di peringkat pengurusan dan pekerja biasa.

“Selain itu, jika pekerja be­kerja di rumah, bagaimana pula dengan akta pekerja? Adakah jika sesuatu terjadi dalam tempoh bekerja di rumah, mereka boleh membuat tuntutan? Semua itu perlu dijelaskan,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Majikan-Majikan Malaysia (MEF), Datuk Shamsuddin Bardan berkata, arahan tersebut menimbulkan kekeliruan kepada banyak pihak.

“Ada pekerja yang mengadu ditahan pihak berkuasa dan diarahkan pulang selepas perlu mendapat surat kebenaran daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) walaupun sebelum ini difahamkan hanya menunjukkan surat majikan.

“Kini lain pula yang berlaku selepas kumpulan pengurusan dan penyelia pula bekerja di rumah. Apabila perkara ini berlaku, kita bimbang akan timbul pula isu lain,” jelasnya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN