Polis jumpa wang tunai RM2.5 juta - Utusan Malaysia

Polis jumpa wang tunai RM2.5 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Satu sindiket warga China yang giat mempromosikan urus niaga mata wang krypto, pelacuran dan penipuan tumpas selepas dua serbuan dilakukan di Cheras dan Kajang, Selangor malam tadi.

Serbuan bermula pukul 2 petang hingga 11 malam itu membawa kepada penahanan 16 suspek membabitkan 14 warga China dan dua rakyat tempatan.

Serbuan itu juga menemukan wang tunai bernilai RM2.5 juta yang disembunyikan dalam beg pakaian.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, serbuan pertama dibuat di sebuah kondominium di Kajang yang membawa kepada penangkapan lapan warga China termasuk seorang wanita berusia lingkungan 21 tahun hingga 28 tahun.

Katanya, hasil siasatan mendapati kesemua suspek terlibat dalam kegiatan mempromosikan aktiviti pelacuran secara dalam talian kepada rakyat di negara mereka sendiri.

“Dalam serbuan itu, kita merampas 15 unit telefon bimbit dan komputer riba (dua unit) yang dipercayai digunakan bagi aktiviti haram mereka,” katanya di sini semalam.

Tambah Huzir, bertindak atas maklumat, polis menyerbu sebuah kediaman mewah di Jalan Desa Bukit Tiara 3, Cheras sebelum menahan enam suspek terdiri daripada empat lelaki dan dua wanita warga China.

Turut ditahan dalam tangkapan itu seorang lelaki dan wanita tempatan yang berperanan sebagai ‘pegawai perhubungan’ termasuk menyediakan rumah kepada sindiket.

Jelasnya, hasil pemeriksaan ke atas komputer riba yang dirampas dalam serbuan polis mendapati, sindiket menjalankan kegiatan urus niaga mata wang krypto dan aktif sejak dua bulan lalu.

“Pemeriksaan lanjut turut membawa kepada penemuan wang tunai kira-kira RM2.5 juta dalam bilik kediaman itu yang disembunyikan dalam beberapa beg pakaian.

“Kita tidak menolak kemungkinan wang itu hasil pengubahan wang haram daripada aktiviti menyalahi undang-undang.

“Jika wang ini hasil daripada kegiatan halal mesti disimpan di bank bukan di dalam beg sebegini,” ujarnya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 372b Kanun Keseksaan bagi kesalahan mempromosikan kegiatan pelacuran, Seksyen 4(1)(a), 4(1)(g) dan 4(1)(h) Akta Pertaruhan 1953 dan Akta Imigresen 1959/63. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya