JOHOR BAHRU: Berdepan kekangan penutupan pintu sempadan ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) tidak menghalang merpati dua sejoli melangsungkan majlis pernikahan meskipun dipisahkan oleh sempadan Malaysia dan Singapura.
Suzana Zakaria, 41, berkata, majlis pernikahannya bersama Ja’afar Juma’at, 44, yang kini berada di Singapura berlangsung secara wakalah (wakil) apabila majlis ringkas diadakan di Pejabat Agama Islam Daerah Petaling, Selangor Sabtu lalu dengan lafaz ijab kabul dilakukan seorang wakil suami di Malaysia.
Demi mengambil tarikh istimewa 10 Oktober 2020, dia bersyukur perjalanan majlis itu berjalan lancar walaupun suaminya tidak berada di sisi.
Majlis itu bagaimanapun disaksikan keluarga dari kedua-dua belah negara secara panggilan video.
“Dia tidak perlu melafazkan akad dari Singapura tetapi ada seorang wakalah iaitu seorang kenalan sudah terlebih dahulu diberi izin untuk berbuat demikian di sini. Namun suami hanya perlu melafazkan taklik sebagai ikrarnya di hadapan kami.
“Bersaksikan keluarga termasuk bapa saya, dua saksi dan pendaftar nikah, majlis ringkas itu berjalan dengan lancar dan saya kini sah bergelar sebagai isteri kepada Ja’afar,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini semalam.
Suzana yang menjalankan perniagaan tudung secara dalam talian berkata, sepatutnya majlis perkahwinan berlangsung pada Mac lalu, namun terpaksa ditangguhkan ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Sehubungan itu, dia dan keluarga berbincang untuk melangsungkan juga majlis pernikahan meskipun masing-masing berada di lokasi berbeza.
“Saya mendapatkan pandangan dan nasihat Pejabat Agama Islam Daerah Petaling, mereka kemudian membenarkan akad nikah secara wakalah seperti mana berlangsung kelmarin.
“Benda baik tidak elok ditangguhkan, jadi daripada tangguh lama-lama adalah lebih dilangsungkan pernikahan dengan segera walaupun masing-masing tiada berada di depan mata.
“Malah demi menjaga adat kita sebagai orang Melayu, majlis secara panggilan video itu berlangsung dengan penuh adat dengan dimulakan dengan berbalas pantun dan berbalas hantaran seolah-olah berada di depan mata,” katanya.
Menurutnya, dia mengenali Ja’afar yang merupakan pemandu teksi di Singapura tahun lalu dalam sebuah ekspo yang berlangsung di negara jiran itu dan bermula daripada detik itu, mereka masing-masing mengenali antara satu sama lain. – UTUSAN ONLINE










