ALOR SETAR: Penanaman pokok ketum di negeri ini didapati semakin berleluasa berikutan permintaan tinggi di pasaran kerana dijadikan sebagai bahan perubatan tradisional.
Walaupun terdapat pakar perubatan menyatakan daun ketum sebenarnya tidak membawa sebarang mudarat kepada pengamalnya, namun secara mitosnya tumbuhan tersebut dipercayai mempunyai khasiat tinggi terutama memulih dan meningkatkan tenaga.
Seorang pengusaha tanaman ketum di sebuah kampung di Padang Terap dekat sini yang mahu dikenali sebagai Amran, 51, berkata, permintaan daun ketum di pasaran cukup tinggi di seluruh negara walaupun menjadi kesalahan kepada mereka yang memilikinya.
Menurutnya, dia yang mengusahakan tanaman ketum seluas kira-kira 0.5 hektar di daerah ini sentiasa mendapat tempahan daripada peniaga tempatan termasuk di Lembah Klang.
“Dalam sebulan saya dapat menjual kira-kira 200 kilogram daun ketum dan setiap satu kilogrram saya jual pada harga antara RM4 hingga RM7,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Katanya, dia menjual ketum sebanyak empat kali seminggu walaupun permintaannya hampir setiap hari.
Menurutnya, peniaga yang membeli daun ketum itu mendakwa kebanyakan pelanggan dalam kalangan mereka yang mempunyai masalah kesihatan.
“Daun ketum menjadi tumpuan bagi mereka yang mempunyai masalah kesihatan seperti kencing manis, darah tinggi, keletihan, lemah tenaga batin, lelah dan antikeradangan,” katanya.
Seorang lagi pengusaha tanaman ketum yang mahu dikenali Wan, 42, pula berkata, secara tradisionalnya, daun ketum diambil dengan mengunyah daunnya dalam kuantiti sedikit yang dicampur dengan buah pinang.
Bagaimanapun, katanya, terdapat juga dalam kalangan pengguna yang menjadikannya seperti minuman teh dengan cara merebus dan dicampurkan dengan gula serta madu untuk menghilangkan rasa pahit.
“Masalah ketagihan daun ketum pula berlaku apabila mereka mencampurkan beberapa bahan lain termasuk ubat batuk, ubat perancang dan minuman ringan yang mengandungi kafein,” katanya.
Sementara itu, seorang warga emas yang mahu dikenali Din, 65, memberitahu, dia menggunakan daun ketum sejak zaman remaja.
“Saya hanya makan sehelai daun ketum sebelum melakukan kerja-kerja di sawah padi. Badan saya tidak berasa letih walaupun kerja kuat sehingga malam,” katanya. – UTUSAN ONLINE











