Pengurus didakwa menipu bekas wartawan - Utusan Malaysia

Pengurus didakwa menipu bekas wartawan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seorang bekas pengurus syarikat hartanah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Ampang di sini hari ini atas pertuduhan menipu seorang wartawan media arus perdana berhubung pembelian lot rumah banglo, lapan tahun lalu.

Mengikut pertuduhan, Mohd. Asri Hasan, 55 didakwa menipu Faiza Zainudin, 50, dengan memperdayakan mangsa berhubung pembelian satu lot banglo sehingga wanita terbabit memindahkan wang sebanyak RM32,000 melalui akaun Maybank.

Bapa kepada empat anak itu dituduh melakukan perbuatan itu kira-kira pukul 4 petang, 5 Mac 2012 di sebuah premis di Jalan Jelatek Satu, Jelatek Business Park dekat sini.

Pertuduhan terhadap lelaki terbabit dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Intan Syakieraah Zakaria mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 10 tahun dan boleh dikenakan denda, jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan mencadangkan ikat jamin sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin namun tertuduh yang tidak diwakili peguam bela memohon agar jumlah jaminan itu dikurangkan memandangkan dia tidak lagi bekerja.

Majistret Normaizan Rahim kemudian menetapkan ikat jamin sebanyak RM4,000 dengan seorang penjamin dan kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 9 Disember ini. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.