Pengarah palsu penyata akaun mohon bantuan Covid-19 direman - Utusan Malaysia

Pengarah palsu penyata akaun mohon bantuan Covid-19 direman

PENGARAH urusan sebuah syarikat (kiri) yang didakwa mengemukakan dokumen mengandungi butiran palsu dibawa ke Kompleks Mahkamah Alor Setar, Kedah pagi ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Seorang pengarah urusan sebuah syarikat ditahan reman empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berhubung kes mengemukakan penyata akaun mengandungi butiran palsu bagi mendapatkan bantuan subsidi upah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), Mac lalu.

Syarikat dari Selangor itu menjalankan beberapa perniagaan termasuk kerja-kerja pembersihan dikatakan memperoleh bantuan upah pekerja lebih RM400,000 sebulan sedangkan tidak memenuhi kelayakan untuk mendapatkan subsidi berkenaan.

Siasatan mendapati syarikat itu tidak mengalami kekurangan pendapatan disebabkan pandemik Covid-19.

Perintah tahanan reman ke atas pengarah urusan berusia 33 tahun tersebut dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Sesyen Alor Setar, Wan Nor Fadzilah Wan Ibrahim.

Lelaki terbabit ditahan di Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah, di sini kira-kira pukul 5.30 petang semalam.

Dia didakwa mengemukakan penyata akaun disyaki mengandungi butiran palsu bagi membolehkan syarikatnya mendapat bantuan subsidi tersebut daripada Perkeso untuk pekerja sekitar Mac lalu.

Pengarah SPRM negeri, Datuk Shaharom Nizam Abd. Manap ketika dihubungi mengesahkan penahanan lelaki terbabit.

“Siasatan dilakukan mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009,” katanya.

Pada 30 September lalu, lelaki itu juga direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan berhubung dakwaan mengemukakan dokumen dengan butiran palsu melibatkan tender sebuah kementerian bernilai lebih RM22 juta, dua tahun lalu. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya