Pelantikan Aliakbar tamat penantian 35 tahun Pas di Sabah - Utusan Malaysia

Pelantikan Aliakbar tamat penantian 35 tahun Pas di Sabah

ALIAKBAR GULASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penantian le­bih 35 tahun Pas menempatkan wakil rakyat mereka di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah berakhir.

Pelantikan Setiausaha Pas negeri, Dr. Aliakbar Gulasan sebagai salah seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dilantik membuka lembaran baharu kepada makna keharmonian etnik negeri di bawah bayu itu.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, jentera partinya akan menjalin hubungan yang lebih erat dengan masyarakat yang terdiri daripada pelbagai kaum dan etnik.

Katanya, keberadaan Pas di Sabah membuktikan kesungguhan mereka untuk memperkukuh perpaduan, menyemarak pendidikan dan membela kebajikan rakyat merentasi kaum serta fahaman agama.

“Sekalung penghargaan diucapkan kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin atas kepercayaan melantik Aliakbar sebagai ADUN Sabah dilantik.

“Kepada Aliakbar dan Pas Sabah, semoga kalian diberikan kekuatan dan pertolongan dalam melaksanakan tanggungjawab ini demi kemaslahatan agama, bangsa serta negara,” katanya dalam satu kenyataan di sini kelmarin.

Lima lagi yang turut dilantik ialah bekas Ketua Menteri, Datuk Seri Yong Teck Lee; daripada UMNO, Suhaimi Nasir dan Datuk Raimie Unggi; serta Jaffari Walliam dan Datuk Amisah Yassin (Bersatu).

Berdasarkan keputusan yang dibuat Ketua Menteri itu, pelantikan Teck Lee yang juga Pre­siden Parti Maju Sabah (SAPP) dipercayai adalah mewakili suara masyarakat Cina, Amisah mewakili wanita dan Aliakbar sebagai menghargai toleransi Pas yang akur tidak meletakkan calon dalam pilihan raya negeri (PRN) Sabah Ke-16.

Semua mereka mengangkat sumpah di hadapan Yang Dipertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin bersama lima menteri dan 18 pembantu menteri di Istana Negeri kelmarin.

Pelantikan itu menjadikan Aliakbar sebagai pemimpin pertama Pas yang menjadi ADUN di negeri itu. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN