GEORGETOWN: Kerajaan Negeri Pulau Pinang tidak merancang menguruskan perkhidmatan feri di negeri ini yang kini dikendalikan Rapid Ferry Sdn. Bhd. (Rapid Ferry).
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, sebelum ini, terdapat cadangan supaya operasi feri itu diambil alih oleh Penang Port Sdn. Bhd. (PPSB), namun perkara itu belum diputuskan.
“Semasa perjumpaan bersama Kementerian Pengangkutan pada 27 Ogos lalu, kerajaan negeri dimaklumkan mengenai cadangan pengoperasian feri oleh PPSB.
“Bagaimanapun, cadangan itu belum dimuktamadkan oleh kementerian,” katanya dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.
Kon Yeow (DAP- Padang Kota) berkata demikian ketika menjawab soalan Goh Choon Aik (PKR- Bukit Tambun) mengenai hasrat kerajaan negeri mengambil alih perkhidmatan Rapid Ferry.
Sebelum ini, Pengerusi Jawatankuasa Pengangkutan dan Infrastruktur negeri, Zairil Khir Johari memaklumkan, PPSB difahamkan akan memulakan proses pengambilalihan semula pengurusan perkhidmatan feri daripada Rapid Ferry.
Namun, menurut Zairil, kerajaan negeri telah memohon Kementerian Pengangkutan mengemukakan pelan perancangan keseluruhan bagi kerja-kerja naik taraf serta pengoperasian feri-feri baharu terlebih dahulu.
Isu penambahbaikan dan menaik taraf perkhidmatan feri di negeri ini semakin kritikal dan mendapat desakan pelbagai pihak supaya disegerakan berikutan perkhidmatan itu kerap terganggu sehingga menyusahkan pengguna. – UTUSAN ONLINE









