Objek disangka bom rupanya batu tanda - Utusan Malaysia

Objek disangka bom rupanya batu tanda

BATU tanda yang disangka bom lama oleh penduduk Kampung Solok Jenuang, Ayer Molek, Melaka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Penduduk Kampung Solok Jenuang, Ayer Molek di sini gempar selepas dikejutkan penemuan objek disangka bom lama di sebuah kawasan tanah lapang, malam semalam.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian tersebut pada pukul 11.05 malam daripada orang awam yang membuat laporan polis di Balai Polis Tiang Dua.

Bagaimanapun katanya, hasil siasatan pasukan Unit Pemusnah Bom (UPB) di lokasi mendapati objek tersebut hanyalah mampatan simen dan besi yang merupakan batu sempadan tanah atau batu tanda.

“Sebaik sahaja menerima laporan, pasukan UPB dari Ibu pejabat Polis Kontinjen Melaka ke lokasi untuk menjalankan pemeriksaan dan siasatan lanjut.

“Objek yang ditemukan itu bukanlah sejenis bom atau bahan letupan tetapi hanyalah batu tanda,” katanya ketika dihubungi di sini.

Afzanizar berkata, objek itu ditemukan orang awam selepas kawasan lapang itu dibersihkan dan dibajak menggunakan jentera.

“Mampatan besi itu juga telah dialihkan dan diletakkan di bawah pokok berhampiran laluan masuk penduduk kampung sebelum dilaporkan kepada polis.

“Pasukan UPB meneruskan operasi mengesan sebarang bahan letupan lama bagi memastikan kawasan berkenaan bebas dan selamat, ” katanya.

Terdahulu, penemuan objek bulat disangka bom lama itu tular dalam laman sosial dan aplikasi WhatsApp sehingga mencetuskan kebimbangan dalam kalangan penduduk kampung. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN