MACHANG: Masjid Mukim Pangkal Meleret, di sini ditutup kepada ahli jemaah dan orang ramai bermula semalam, susulan seorang jemaahnya disahkan positif Covid-19.
Imam masjid mukim berkenaan, Kamaruzzali Dollah berkata, notis penutupan itu dikeluarkan oleh Pejabat Agama Jajahan Machang untuk sementara waktu sehingga ke satu tarikh yang akan diumumkan kelak.
Menurutnya, Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan mengesahkan tiga kes baharu direkodkan di negeri ini dengan dua daripada adalah dari Mukim Pangkal Meleret.
“Kerja-kerja disinfeksi turut dilaksanakan di masjid ini dan semua anak mukim sudah maklum mengenai penutupan masjid termasuk penangguhan solat fardu Jumaat hari ini.
” Semua jadual majlis ilmu, ceramah dan aktiviti yang berkaiatan turut ditangguhkan sementara sehingga dimaklumkan semula mungkin selepas tempoh 14 hari,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Kamaruzzali berkata, pengurusan masjid menafikan maklumat tular di media sosial yang mendakwa semua ahli jawatankuasa dijangkiti Covid-19.
Katanya, hanya ahli jawatankuasa masjid yang berhubung rapat dengan mangsa yang disahkan positif Covid-19 tampil secara sukarela melakukan saringan untuk pengesahan kesihatan masing-masing.
“Jangkitan ini berlaku di luar masjid, namun kewaspadaan mengekang penularan penyakit amat penting dengan mematuhi arahan pihak berkuasa menutup sementara masjid ini.
“Kita (jemaah) telah mematuhi operasi standard (SOP) termasuk mewajibkan pemakaian pelitup muka dan penjarakan sosial. Menjadi kelaziman, ahli jawatankuasa yang menjalani saringan covid-19 perlu mematuhi prosedur kuarantin sehingga keputusan mengenainya diperoleh,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE










