Lelaki menyamar wanita mengaku tidak bersalah curi duit surau - Utusan Malaysia

Lelaki menyamar wanita mengaku tidak bersalah curi duit surau

MUHAMMAD Waafi Azahari (tengah) dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Parit, Perak selepas mengaku tidak bersalah atas tuduhan mencuri wang tabung sebuah surau di Batu Gajah. - UTUSAN/SHAARANI ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PARIT: Seorang lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan mencuri wang tunai tabung Surau Al Solahiah Kampung Tersusun Taman Tasek Permai, dekat Batu Gajah, Jumaat lalu.

Muhammad Waafi Azahari, 29, membuat pengakuan itu selepas mengangguk faham pertuduhan ke atasnya yang dibacakan jurubahasa mahkamah.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu kira-kira pukul 10.57 pagi dan didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan dikenakan denda.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Fairoz Abd Mutalib di hadapan Majistret Nazratul Natrah Mohd. Yusof manakala tertuduh diwakili peguam, Rajit Gill.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM4,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 10 Disember ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

Terdahulu, seorang lelaki yang menyamar dengan memakai jubah wanita untuk mencuri wang dari tabung surau dilaporkan ditahan polis selepas kegiatannya dirakam kamera litar tertutup (CCTV) surau berkenaan.

Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, kejadian berlaku Jumaat lalu di Surau Al-Solehiah Kampung Tersusun, Taman Tasek Permai.

Katanya, suspek ditahan polis Sabtu lalu kira-kira pukul 8.30 malam di Jalan Restu, Kampung Serdang Permai dekat sini selepas ahli jawatan kuasa surau memeriksa rakaman CCTV dan mengenal pasti kenderaan digunakan suspek.

Suspek juga dikesan mempunyai tiga rekod kesalahan lampau yang antaranya di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan pada Ogos lalu kerana mencuri wang dalam tabung masjid di Jelapang Ipoh.

Ketika ditahan, polis menemukan wang tunai sebanyak RM100, sehelai jubah wanita bewarna hitam, sehelai tudung berwarna hitam, sehelai seluar panjang berwarna hitam, satu beg dan satu beg sandang yang dipercayai digunakan untuk melakukan kegiatan curi. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya