BERA: Seorang lelaki yang tinggal seorang diri ditemukan lemas dalam perigi di sebelah rumahnya di Kampung Kerayong, di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah, Deputi Superintenden Mansor Samsudin berkata, Tan Chee Kong, 63, yang tinggal berasingan dengan isteri dan dua anaknya ditemukan terapung dalam perigi berkenaan kira-kira pukul 7.30 pagi.
“Berdasarkan siasatan, pada kira-kira pukul 5.30 pagi jirannya menyatakan terdengar mangsa bising-bising di luar rumah sebelum ditemukan dalam perigi di tepi rumah oleh isterinya.
“Mangsa dipercayai mengalihkan dua keping papan di atas perigi dan terjun ke dalam perigi yang mempunyai kedalaman kira-kira tiga meter,” katanya di sini hari ini.
Menurut Mansor, mayat warga emas itu dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) Temerloh untuk bedah siasat.
Katanya, berdasarkan siasatan awal, tiada kesan kecederaan pada badan mangsa.
“Semakan mendapati mangsa mempunyai rekod masalah mental dan mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Triang,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE










