Lebih 100 pelajar MRSM Kuala Klawang keracunan makanan - Utusan Malaysia

Lebih 100 pelajar MRSM Kuala Klawang keracunan makanan

SEBAHAGIAN pelajar MRSM Kuala Klawang yang mendapat rawatan di Klinik Kesihatan Jelebu, Negeri Sembilan menaiki kenderaan untuk pulang ke sekolah tersebut selepas mengadu sakit perut sejak awal pagi tadi. - UTUSAN/BADRUL HAFIZAN MAT ISA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JELEBU: Lebih 100 pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kuala Klawang dekat sini mengalami keracunan makanan sejak awal pagi tadi dipercayai selepas menikmati makan malam di dewan makan sekolah tersebut.

Naib Yang Dipertua Badan Permuafakatan Pendidikan Mara Malaysia (Muafakat) Cawangan MRSM Kuala Klawang, Rosdin Abdul Kahar berkata, ibu bapa dimaklumkan anak-anak mereka mengalami sakit perut sejak pukul 4 pagi tadi.

“Anak-anak mereka kata selepas makan malam, ramai yang sakit perut dan berulang alik tandas sejak pukul 4 pagi ini. Ada yang kata antara makanan yang dimakan pelajar pada malam itu ialah kari ayam dan daging masak kicap.

“Ibu bapa dan penjaga memaklumkan terdapat kira-kira 94 pelajar tingkatan empat sekolah tersebut mengadu sakit perut dan muntah-muntah. Namun saya tidak pasti jumlah keseluruhan pelajar yang terlibat,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Sementara itu, tinjauan Utusan Malaysia di Klinik Kesihatan Jelebu mendapati, sekumpulan pelajar MRSM Kuala Klawang baru selesai mendapatkan rawatan di klinik tersebut.

Seorang pelajar lelaki tingkatan satu memberitahu Utusan Malaysia, terdapat lebih 100 pelajar mendapat rawatan selepas mengadu sakit perut namun dia tidak pasti sama berpunca daripada makan malam atau makan tengah hari.

Dalam pada itu, tinjauan di hadapan MRSM tersebut mendapati beberapa ambulans keluar masuk ke sekolah berkenaan.

Setakat ini, tiada sebarang kenyataan daripada mana-mana pihak mengenai jumlah sebenar pelajar yang terlibat namun difahamkan Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelaburan, Perindustrian, Keusahawanan, Pendidikan dan Modal Insan Negeri Sembilan, Datuk Dr. Mohamad Rafie Ab Malek akan mengadakan lawatan ke sekolah tersebut petang ini. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya