Kondominium, hotel mewah jadi 'calling centre' sindiket warga China - Utusan Malaysia

Kondominium, hotel mewah jadi ‘calling centre’ sindiket warga China

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Sewa kondominium dan hotel mewah untuk dijadikan markas menjalankan kegiatan penipuan pelaburan saham.

Itu kegiatan sindiket warga China sejak September lalu yang menyasarkan mangsa di negara mereka sendiri dengan ‘mempromosikan’ tawaran pelaburan saham tersebut menerusi aplikasi Wechat.

Kegiatan itu bagaimanapun terbongkar selepas Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan 12 warga China termasuk dua wanita berusia lingkungan 23 tahun hingga 37 tahun dalam beberapa siri serbuan di Lembah Klang, Jumaat lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Zainuddin Yaacob berkata, dalam serbuan kira-kira pukul 11 pagi itu, pelbagai barangan dirampas antaranya 125 unit telefon bimbit, komputer riba (tujuh unit), serta barang kemas seperti cincin dan rantai leher selain rampasan wang tunai RM27,222 dan mata wang asing.

“Bagi meyakinkan mangsa (pelabur), sindiket menyarankan mereka membuat pelaburan berskala besar dan segala urusan niaga dilakukan secara maya menerusi aplikasi Wechat dan Alipay.

“Hasil siasatan mendapati, kesemua suspek yang ditahan menerima gaji sebanyak RM2,500 hingga RM4,000 sebulan selain mencari tempat di negara ini untuk dijadikan pusat panggilan dengan bayaran RM9,000 hingga RM13,000 sebulan,” katanya di sini hari ini.

Tambah Zainuddin, siasatan juga mendapati sindiket itu tidak membabitkan warga tempatan.

“Kesemua suspek kini direman untuk siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan, Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” jelasnya.

Dalam perkembangan lain, Zainuddin memberitahu, pihaknya melakukan 60 serbuan terhadap ‘calling centre’ yang didalangi warga China sejak awal tahun sehingga 23 Oktober lalu.

Jelasnya, hasil daripada serbuan itu, sebanyak 617 tangkapan dilakukan pihaknya berbanding 868 individu ditahan pada tahun sebelumnya dengan membabitkan 68 serbuan

“Kesemua tangkapan ini adalah membabitkan warga China yang terlibat dalam kes penipuan pelaburan, saham dan judi online.

“Sehubungan itu, PDRM ingin mengingatkan orang ramai agar tidak menyewakan kediaman atau premis mereka kepada sindiket selain jangan menjadi ‘orang tengah’ yang memberi bantuan pengangkutan serta logistik kepada sindiket warga asing ini.

“Orang ramai juga diingatkan supaya berhati-hati dengan tawaran pelaburan di media sosia,l” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.