MUKADIMAH
KEMELUT politik yang berlaku ketika ini tidak harus dibangkitkan ketika negara dilanda pandemik Covid-19. Masing-masing tidak wajar mementingkan kuasa sebaliknya mengutamakan rakyat.
Dalam hal ini, TUN DR. MAHATHIR MOHAMAD berkata, semua parti politik perlu mengetepikan kepentingan masing-masing sebaliknya mengutamakan negara dan rakyat.
Dalam perbualan persidangan video dengan Wartawan Utusan Malaysia, MAISARAH SHEIKH RAHIM dan jurugambar, FAISOL MUSTAFA semalam, bekas Perdana Menteri itu mengulas panjang lebar tentang isu-isu semasa.
Berikut transkripsi penuh wawancara tersebut dari pejabat beliau di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya.
UTUSAN: Apa khabar Tun?
Dr. Mahathir: Alhamdulillah sihat.
Boleh Tun ulas perkembangan politik semasa?
Terlalu banyak politik masing-masing nak naik, nak jatuh orang itu orang ini. Tidak ada fokus untuk pembangunan negara. Apabila Pakatan Harapan (PH) ketika itu mahu fokus pentadbiran, di belakang ada orang kacau nak bagi jatuh kerajaan PH.
Saya nampak (perkara ini) tidak akan ada kesudahan dan tidak akan berhenti. Sebab itu saya cadang supaya kita ketepikan parti-parti politik dan wujudkan kerajaan perpaduan. Inilah cadangan saya dahulu (ketika menjadi Perdana Menteri interim).
Inilah cara yang Tun Razak buat. Apabila dia nampak Parti Perikatan banyak orang tolak, dia pun nak tarik semua orang suruh masuk dalam kerajaan supaya kita ketepikan parti dan utamakan negara.
Saya fikir macam itulah. Saya dapati orang di luar parti yang berminat dan mereka mempunyai kebolehan tertentu dan sepatutnya kita bawa mereka masuk sama. Itu cadangan saya.
Kerajaan perpaduan itu perlu turut dianggotai oleh mereka yang bukan dalam kalangan parti politik tetapi mereka yang mempunyai minat dan kebolehan tertentu.
Tapi ramai yang takut saya akan jadi diktator, tidak apa lah. Kalau tak mahu saya, carilah orang lain.
Tun setuju jika ada penggabungan parti dengan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang)?
Kita mengalu-alukan sebarang penggabungan parti politik dengan Pejuang, tetapi perlu mereka yang betul-betul berminat untuk berkhidmat kepada negara.
Bagaimanapun, saya tidak nampak usaha itu melainkan semuanya hanya mahu menjadi Perdana Menteri.
Semuanya ingat kalau jadi menteri dapat duit banyak. Mereka bersungguh-sungguh untuk dapatkan duit sendiri, bukan untuk negara. Negara tak lagi penting.
Jadi, kalau parti perpaduan itu dianggotai oleh orang yang berdedikasi berkhidmat untuk negara, negara akan berjaya. Tidak kisahlah bergabung dengan parti bukan Melayu.
Kita tidak mengira parti, kita nak cari orang yang boleh mewakili. Perlu ingat orang Cina pun rakyat Malaysia juga, tetapi jangan ada dominasi oleh mana-mana pihak dan kena utamakan negara.
Pendapat Tun tentang dakwaan Datuk Seri Anwar Ibrahim (Ketua Pembangkang) mendapat sokongan majoriti ahli Parlimen membentuk kerajaan baharu?
Saya tak percaya Anwar mempunyai sokongan kukuh daripada majoriti ahli Parlimen bagi membentuk kerajaan baharu.
Beliau hanya mengulangi dakwaan yang pernah dibuat dahulu tetapi langsung tidak mengemukakan sebarang bukti yang menyokong dakwaannya.
Ia berkemungkinan wujud perjanjian tertentu antara kedua-dua pihak sama ada berbentuk wang atau mendapat ‘kebebasan’ daripada pelbagai masalah yang sedang membelenggu pihak tersebut.
Dari awal lagi bila Anwar buat dakwaan kononnya dapat sokongan kukuh, saya tak percaya. Dahulu pun dia buat macam tu dah. Namun apabila Yang di-Pertuan Agong minta supaya masing-masing menyatakan siapa nak pilih Perdana Menteri, dia (Anwar) kata dapat sokongan majoriti, tapi tidak ada pun.
Sekarang ini pun tak pernah juga (ada bukti sokongan). Sekarang ini Anwar mungkin nak tengok ada orang nak sokong dia atau tidak, kerana nak dapat sokongan ini, orang itu mesti dapat sesuatu sama ada duit atau dapat kebebasan daripada macam-macam masalah, sebab itu dia boleh sokong.
Apa pendapat Tun mengenai cadangan UMNO untuk tarik diri menyokong Perikatan Nasional (PN)?
Jika berbuat demikian ia boleh merisikokan UMNO sendiri untuk jatuh sekali. UMNO berkemungkinan akan fikir boleh membentuk kerajaan baharu bersama Anwar jika mengambil tindakan keluar daripada PN.
Bukan sahaja PN jatuh, UMNO pun jatuh juga. Tapi apabila ada pakatan antara Anwar dan UMNO ini, ada orang yang akan tarik diri, jadi tak capai majoriti juga.
Mungkin ada deal (perjanjian) kalau saya (Anwar) jadi Perdana Menteri, saya bagi kamu jadi Menteri dan sebagainya.
Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah mahu mengemukakan usul undi tidak percaya di Dewan Rakyat. Komen Tun?
Saya pernah mahu mengemukakan usul undi tidak percaya. Aturan peraturan Dewan Rakyat ialah kerajaan diutamakan. Kalau pembangkang bawa usul pun akan dibelakangkan. Ini sengaja dibuat supaya dibelakangkan sehingga saya tak dapat kemukakan usul saya.
Ini merupakan sedikit sebanyak salah guna kuasa. Kuasa itu ada tapi kuasa itu bukan nak sekat orang itu daripada bercakap dalam Dewan. Ini merupakan satu sekatan supaya parti lawan tidak boleh bercakap. Ini tak demokratik.
Apa perkembangan Parti Pejuang?
Kita (Pejuang) bukan nak jadi kerajaan pun tetapi kita khuatir berkenaan rasuah sekarang ini. Rasuah sudah sampai tahap kerajaan boleh dibeli. Kerajaan pilihan rakyat perlu dijatuhkan, dan kerajaan rasuah didirikan.
Bila sampai tahap ini amat berbahaya kerana kalau orang yang jahat ada duit boleh beli kerajaan dan dapat kuasa kerajaan akan salah guna kuasa. Ini sudah sampai tahap itu.
Apakah Tun rasa wajar kalau pembubaran Parlimen dilakukan ketika tempoh Covid-19?
Saya tak berani nak kata, tetapi Covid-19 ini dulu pakar yang boleh rancang, sementara kita tunggu vaksin, kita mencari cara supaya kita kurangkan kesan. Saya ucapkan tahniah kepada Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah pasal dia memang berjaya menangani masalah Covid-19 ini.
Saya berpendapat bahawa kalau diberi masa kepada Noor Hisham dia boleh kurangkan kes, tapi tak boleh nak hapuskan terus. Tapi dia (Noor Hisham) perlu diberi kebebasan 100 peratus jangan kacau dia.
Kita lihat ada kepentingan politik lain, ini selalu berlaku, bila pegawai nak buat sesuatu, tapi politik campur tangan dia jadi lain lah. Setakat ini Noor Hisham berjaya.
Apa nasihat Tun kepada parti politik supaya menghentikan kemelut ketika ini?
Kalau kerajaan yang ada ini nampak mampu, kita jangan kacau lah. – UTUSAN ONLINE











