Kerajaan perpaduan stabilkan politik negara - Utusan Malaysia

Kerajaan perpaduan stabilkan politik negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pembentukan kerajaan perpaduan melibatkan kerjasama Perikatan Nasional (PN) dan pembangkang dianggap jalan terbaik menstabilkan semula politik yang semakin bercelaru ketika negara bergelut dengan wabak Covid-19 dan keruntuhan ekonomi.

Kemelut tersebut perlu dihentikan demi rakyat yang menunggu kerajaan menyelamatkan mereka yang semakin ramai tenat kerana impak pandemik Covid-19.

Selepas beberapa hari ketidaktentuan tersebut, pemerhati dan penganalisis politik berpendapat hanya menerusi pembentukan kerajaan perpaduan untuk satu tempoh tertentu wajar dipertimbangkan.

Penganalisis politik Jabatan Kenegaraan dan Ketamadunan Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya Dr. Mohd. Izani Mohd. Zain berkata, rakyat perlu bangkit menyatakan pandangan serta memberi tekanan kepada ahli politik bagi menyelesaikan isu terbabit.

Selepas berlarutan, katanya, langkah pembentukan kerajaan perpaduan dilihat jalan terbaik masa ini dan seandainya pada ketika ini UMNO memberi sokongan kepada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sekalipun, tiada jaminan kemelut dapat diselesaikan parti itu.

“Anwar pasti akan lebih mengutamakan PKR dan DAP seperti pembahagian jawatan dalam Kabinet. MCA pula bukan lagi pilihan kaum Cina selepas ditolak dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

“Di sini akan timbul juga masalah. Jadi pembentukan kerajaan perpaduan buat sementara mungkin boleh dicuba untuk menurunkan suhu panas politik negara,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.

UMNO sebelum ini menimbang menarik diri daripada menyokong PN dan mahu membuat syarat baharu secara perjanjian bertulis sebelum meneruskan kerjasama dengan PN.

Difahamkan,rasa tidak puas hati pemimpin dan akar umbi UMNO kepada kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin berlaku selepas Pilihan Raya Negeri Sabah kerana didakwa tidak menyebelahi parti itu.

Kelmarin Anwar yang menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin al-Mustafa Billah Shah mempersembahkan dokumen mengenai jumlah ahli parlimen yang didakwa menyokong beliau untuk menggantikan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri.

Penganalisis politik Profesor Dr. Kartini Aboo Talib berkata, Majlis Raja-Raja boleh memainkan peranan membantu Yang di-Pertuan Agong menyelesaikan kemelut politik yang belum ada tanda untuk tamat.

“Majlis Raja-Raja juga perlu menyedarkan pemimpin tanpa mengira kerajaan Pusat ataupun negeri untuk wujudkan satu mekanisme yang membolehkan mereka bekerjasama.

“Kita boleh mencadangkan kepada pemimpin-pemimpin raja untuk menasihati pemimpin politik supaya memberikan fokus dan tenaga untuk memenuhi tanggungjawab kepada negara dan rakyat,” jelasnya.

Penganalisis ekonomi daripada Putra Business School, Prof. Madya Dr. Abu Sofian Yaacob pula berkata, pertumbuhan ekonomi dalam tempoh tiga bulan terakhir tahun ini perlu dijaga kerana ia bakal memberi kesan besar kepada unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahun depan.

Katanya, amat menyedihkan apabila negara-negara lain bersatu-padu memulihkan ekonomi ketika berdepan pandemik Covid-19 tetapi Malaysia pula dihimpit masalah dalaman akibat percaturan politik tidak bijak.

“Suku keempat sepatutnya kerajaan kena fikirkan apa yang terbaik boleh ditawarkan kepada rakyat dalam Belanjawan 2021. Bukannya masih bertelagah dan berpolitik berlebihan.

“Rangsangan dalam bentuk pelaburan awam perlu diberikan agar ekonomi dalam negara dapat berjalan melalui pembinaan infrastruktur dan sebagainya,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.

Dalam pada itu, Setiausaha Agung Majlis Perundingan Melayu (MPM), Datuk Dr. Hasan Mad berkata, sudah tiba masanya tiga figura politik Melayu iaitu Anwar, Muhyiddin dan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang `bercakaran’ duduk semeja memikirkan masalah yang lebih besar daripada soal kerusi Perdana Menteri.

“Mereka bertiga kena muhasabah diri. Selaku pemimpin Melayu sepatutnya boleh duduk semeja.

“Selamatkan negara dahulu bukan selamatkan keinginan masing-masing untuk jadi Perdana Menteri,” kata beliau. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN