bad
SEREMBAN: Keputusan tiada keperluan untuk mengisytiharkan darurat di negara ini seperti dititahkan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah jelas menunjukkan kepentingan rakyat lebih diberikan keutamaan.
Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, keputusan Al-Sultan Abdullah dan raja-raja Melayu itu juga secara tidak langsung mempertahan Perlembagaan Persekutuan serta mengiktiraf kerja keras petugas kesihatan barisan hadapan negara.
“Seri Paduka Baginda bersama raja-raja Melayu telah membuat keputusan terbaik untuk Malaysia dengan tidak mengisytiharkan perintah darurat seperti dicadangkan kerajaan.
“Tuanku dan raja-raja Melayu melalui keputusan ini telah mempertahankan Perlembagaan, mengiktiraf kerja keras dan sumbangan luar biasa petugas kesihatan dan barisan hadapan negara serta mengutamakan kepentingan rakyat kebanyakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam, Al-Sultan Abdullah bertitah, tiada keperluan untuk mengisytiharkan darurat di negara ini buat masa ini.
Dalam satu kenyataan, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin, berkata keputusan itu dibuat hasil perbincangan dalam mesyuarat khas raja-raja Melayu di Istana Negara.
Sementara itu, Mohamad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau jyakin kerajaan Perikatan Nasional (PN) akan mengusahakan tindakan sewajarnya untuk menterjemahkan keputusan bijaksana oleh Yang di-Pertuan Agong.
Malah, keputusan itu juga sewajarnya mendorong semua pihak tampil demi kepentingan nasional untuk bersama-sama kerajaan dalam memerangi pandemik global ini.
“Kebijaksanaan dan hikmah Duli Yang Maha Mulia Tuanku dalam perkara ini meyakinkan patik bahawa institusi raja mempunyai peranan Perlembagaan Persekutuan yang sangat penting dalam pentadbiran negara ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE










