Keputusan makmal kes tumpahan minyak minggu depan - Utusan Malaysia

Keputusan makmal kes tumpahan minyak minggu depan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Keputusan ujian makmal berkaitan kejadian tumpahan minyak di Pantai Tanjung Tuan, pertengahan bulan ini dijangka diketahui seawal-awalnya minggu hadapan.

Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri, Rosli Osman berkata, pihaknya masih menunggu laporan makmal yang dijalankan bersama agensi terlibat dari negeri ini dan Negeri Sembilan yang menjalankan siasatan.

Menurut beliau, pelbagai kaedah dijalankan bagi melaksanakan ujian terbabit termasuk ‘finger print test’ dengan mengambil sampel minyak daripada beberapa buah kapal yang disyaki terlibat dalam tumpahan terbabit.

“Melalui kerjasama dengan Jabatan Laut Malaysia sejak awal siasatan, terdapat kira-kira 20 buah kapal dikesan berlabuh di perairan itu dalam tempoh kejadian terbabit berlaku.

“Bagaimanapun, hanya empat buah kapal yang disenaraikan terlibat dalam insiden berkenaan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Tambah Rosli, JAS mengambil sampel dari kapal-kapal terbabit untuk mengesan elemen persamaan dengan tumpahan minyak di laut.

Pada 13 Oktober lalu, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Melaka dan Negeri Sembilan mengesan tumpahan minyak di perairan Tanjung Tuan dan Pantai Cermin di Port Dickson, Negeri Sembilan.

Tumpahan yang disifatkan terbesar berlaku pada tahun ini disebabkan hampir 10 tan metrik sisa minyak telah mencemari perairan berkenaan di kedudukan 1.3 batu nautika menghala ke Pulau Perjudi.

Kira-kira 4,000 batang pokok di Tanjung Tuan turut terjejas sehingga memerlukan kerja-kerja pembersihan dan pemuliharaan sepanjang pantai berkenaan terpaksa dijalankan selama seminggu.

Pelbagai kaedah juga digunakan termasuk penggunaan alatan seperti ‘absorbent boom’ dan ‘absorbent pad’ bagi menyerap tumpahan sisa minyak di lokasi tercemar. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya