Kakitangan Perhilitan dipatuk ular kapak kian pulih - Utusan Malaysia

Kakitangan Perhilitan dipatuk ular kapak kian pulih

MUHAMMAD Imran Khasimin (kiri) yang dipatuk ular kapak menerima rawatan di Hospital Setiu, Terengganu - IHSAN PERHILITAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Keadaan kakitangan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu yang cedera dipatuk ular kapak di Hutan Simpan Sekayu di Hulu Terengganu semalam, semakin pulih.

Pengarah Perhilitan negeri, Dr. Abdul Malek Mohd. Yusof berkata, Muhammad Imran Khasimin Kamarul Zaman, 24, yang dipatuk di bahagian pergelangan kaki kiri menunjukkan perubahan positif selepas menerima rawatan di Hospital Setiu.

Katanya, mangsa bersama sembilan lagi kakitangan lain memasuki hutan simpan itu untuk melakukan tugasan rutin.

“Muhammad Imran Khasimin dipatuk ular ketika berada di hadapan untuk merintis jalan. Kejadian itu segera dimaklumkan rakan sepasukannya ke markas operasi di samping menghubungi pasukan bomba dan penyelamat.

“Kakitangan markas operasi memberi bantuan awal dengan membawa mangsa keluar menuju ke kawasan yang mempunyai akses kenderaan sebelum bertemu bomba ketika separuh perjalanan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurut Abdul Malek, jarak antara lokasi kejadian dengan kawasan yang boleh diakses masuk kenderaan adalah kira-kira 3.2 kilometer.

Katanya, kerja-kerja membawa keluar mangsa selesai pada pukul 8.30 malam dan pihaknya berterima kasih atas bantuan bomba yang mempercepat urusan tersebut.

Sementara itu, Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Berang, Mohd. Zamri Muda berkata, pihaknya dengan kekuatan lapan anggota bersama satu jentera ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan pada pukul 3.49 petang.

Habis

241020-trg-perhilitan-ular pulih

MUHAMMAD Imran Khasimin (kiri) yang dipatuk ular kapak menerima rawatan di Hospital Setiu, Terengganu – IHSAN PERHILITAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN