Johor cari sumber air baharu - Utusan Malaysia

Johor cari sumber air baharu

HASNI MOHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR GUDANG: Kerajaan negeri sedang mencari sumber air yang baharu sebagai alternatif kepada takungan-takungan simpanan sedia ada di negeri ini.

Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad berkata, pelbagai kajian dan beberapa aktiviti dijalankan bagi mengesan potensi sumber air baharu di negeri ini.

“Buat masa ini, sumber air permukaan adalah terhad dan tercemar serta ia memerlukan kos rawatan yang sangat tinggi.

“Kerajaan negeri akan mencari sumber air alternatif bagi menampung kegunaan yang semakin meningkat,” katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Pemantauan Air Sedunia di Empangan Upper Layang di sini hari ini.

Yang hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Azmi Rohani dan Ketua Pegawai Eksekutif Ranhill SAJ Sdn. Bhd., Nor Ifuan Md. Nor.

Dalam pada itu, Hasni berkata, kerajaan negeri meletakkan teras kelestarian alam sekitar sebagai salah satu daripada lapan teras utama menerusi Pelan Pembangunan Mampan Johor 2019-2030.

Jelasnya, dalam aspek kelestarian alam sekitar, penekanan tertumpu kepada menjaga sumber-sumber asli di negeri sebagai satu tanggungjawab yang sangat mustahak.

Kata beliau, tujuannya supaya Johor dapat memastikan sumber airnya tidak dikorbankan atas nama pembangunan dan kemodenan.

“Untuk itu, kerajaan negeri sentiasa berusaha mencari pendekatan baharu bagi memastikan kelestarian pengurusan air yang efektif.

“Masyarakat hari ini sedang menghadapi cabaran akibat isu berkaitan sumber dan ketersediaan air yang semakin mendesak.

“Maka solusi yang paling ampuh dalam mendepani isu tersebut adalah pengurusan sumber air yang bijak dan terarah,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN