Duit RM2.5 juta dalam beg pakaian - Utusan Malaysia

Duit RM2.5 juta dalam beg pakaian

HUZIR MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sorok wang tunai RM2.5 juta dalam beg pakaian sebelum disimpan di sebuah kondominium.

Itu yang polis temukan dalam serbuan di Cheras dan Kajang malam kelmarin terhadap sindiket warga China yang mempromosikan urus niaga mata wang krypto, pelacuran dan penipuan.

Bagaimanapun, punca dari mana wang tunai sebanyak itu diperolehi masih menjadi tanya tanya sama ada daripada aktiviti haram atau sebaliknya.

Menurut sumber, kebiasaannya sindiket-sindiket yang diberkas pihak berkuasa sebelum ini menyimpan wang tunai di satu lokasi lain dari pusat operasi mereka.

“Namun, sindiket ini sewenang-wenangnya meletakkan wang tunai di dalam kondominium yang ada pekerja di kediaman itu,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.

Terdahulu, dalam serbuan pukul 2 petang hingga 11 malam itu membawa kepada penahanan 16 individu terdiri daripada 14 warga China dan dua warga tempatan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, serbuan pertama dibuat di sebuah kondominium di Kajang membabitkan lapan warga China termasuk seorang wanita berusia 21 hingga 28 tahun ditahan.

“Kita merampas 15 telefon bimbit dan dua komputer riba yang dipercayai digunakan bagi kerja jenayah mereka,” katanya.

Menurut beliau, susulan itu polis menyerbu pula kediaman mewah di Jalan Desa Bukit Tiara 3, Cheras sebelum menahan empat lelaki dan dua wanita warga China.

Turut ditahan seorang lelaki dan wanita tempatan yang berperanan sebagai ‘pegawai perhubungan’ termasuk menyediakan rumah kepada sindiket.

“Pemeriksaan komputer riba mendapati kumpulan ini juga menjalankan kegiatan urus niaga mata wang krypto dan aktif sejak dua bulan lalu,” jelas beliau.

“Kita tidak menolak kemungkinan wang RM2.5 juta iu hasil pengubahan wang haram daripada aktiviti menyalahi undang-undang. Jika wang ini hasil kegiatan halal mesti disimpan di bank, bukan di dalam beg sebegini,” jelasnya.

Huzir memberitahu, pihaknya turut merampas dadah sintetik, lima komputer riba, empat telefon bimbit dan dua iPad.

Katanya, kesemua yang ditahan dibawa ke balai polis untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 372b Kanun Keseksaan bagi kesalahan mempromosikan kegiatan pelacuran, Seksyen 4(1)(a), 4(1)(g) dan 4(1)(h) Akta Pertaruhan 1953 dan Akta Imigresen 1959,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN