KUALA LUMPUR: `Datuk Seri’ yang melarikan diri dengan memanjat tembok Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Ahad lalu bagi mengelakkan ditangkap polis dipercayai masih bersembunyi dalam negara.
Orang dikehendaki Goh Leong Yeong, 3, dengan alamat terakhir di Blok 25b2-5-8, Miharja Condo, Batu 2 1/2, Off Jalan Cheras disyaki masih berada di Kuala Lumpur dan Selangor.
Satu sumber berkata, lelaki itu dipercayai sukar meloloskan ke luar negara susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan hampir semua negara lain juga sedang berdepan masalah Covid-19.
“Untuk bergerak dari satu negeri ke satu negeri banyak sekatan dan memboloskan diri ke negara lain juga ada masalah kerana semua ada pemeriksaan ketat ekoran Covid-19 turut melanda,” kata sumber itu ketika dihubungi.
Selain itu, kata sumber, Leong Yeong juga berdepan masalah kewangan apabila beberapa akaun bernilai jutaan ringgit disyaki hasil kegiatan perjudian dan penipuan dalam talian telah dibekukan SPRM.
Dalam pada itu, PDRM dalam satu kenyataan semalam mengeluarkan gambar ahli perniagaan yang menjadi buruan.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, lelaki itu dikehendaki polis bersabit siasatan tiga kes mengikut Seksyen 4(1)(C) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.
“Individu itu melarikan diri sebaik dibebaskan dengan jaminan oleh SPRM kerana disiasat dalam kes Macau Scam,” kata beliau.
Sehubungan itu, Huzir meminta orang ramai yang mempunyai maklumat menghubungi Ketua Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras, Deputi Superintenden Ahmad Zamri Jai di talian 012-899 3622 atau pegawai penyiasat Inspektor Muhamad Faizal Asuar di talian 017-312 6411 atau mana-mana balai polis berhampiran.
Sementara itu, Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) turut melakukan siasatan berhubung individu yang disyaki terbabit dengan kes Macau Scam di bawah Seksyen 28 Akta 700.
Pengerusinya, Tan Sri Mohd Sidek Hassan berkata, EAIC memandang serius bagaimana dan punca lelaki itu boleh melarikan diri.
“Sehubungan itu, pihak kita sedang mengambil tindakan sewajarnya, bersesuaian
dengan peruntukan di bawah Akta 700 dan akan memaklumkan sekiranya tindakan selanjutnya diambil,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam. – UTUSAN










