BAGAN SERAI: Tiga lagi sekolah di negeri ini diarahkan tutup seminggu berkuat kuasa hari ini berikutan beberapa pelajarnya disahkan dijangkiti Covid-19.
Sekolah terlibat ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Tanah Kebun di Parit Buntar, SK Klebang Jaya dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Aminuddin Baki, Chemor di Ipoh yang ditutup sehingga 25 Oktober ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, NGO dan Masyarakat Sivil negeri, Razman Zakaria berkata, SK Tanah Kebun ditutup berikutan dua murid tahun satu dan dua sekolah itu disahkan dijangkiti virus berkenaan.
“Di SK Klebang Jaya, seorang murid tahun empat turut disahkan positif wabak tersebut.
“SMK Aminuddin Bakti pula diarahkan tutup ekoran seorang pelajar berusia 15 tahun disahkan positif,” katanya ketika ditemui pemberita selepas meninjau pembinaan laluan konkrit ke puncak Gunung Semanggol, di sini hari ini.
Rabu lalu, sebanyak lapan sekolah di Manjung tutup seminggu berikutan terdapat kes disyaki jangkitan Covid-19 di daerah itu.
Penutupan melibatkan sebuah SK,, enam Sekolah Rendah Agama Rakyat (SRAR) dan sebuah prasekolah.
Sementara itu, dalam tinjauannya hari ini, Razman berkata, laluan konkrit ke puncak gunung berkenaan adalah untuk kenderaan pacuan empat roda melakukan pelbagai aktiviti di kawasan itu.
“Fokus utama adalah menjadikan Gunung Semanggol sebagai tarikan baharu di negeri ini untuk aktiviti mendaki dan luncur udara,” katanya. – UTUSAN ONLINE










