Covid-19: 128 kes positif di kuarters, penjara Pokok Sena - Utusan Malaysia

Covid-19: 128 kes positif di kuarters, penjara Pokok Sena

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Seramai 128 kakitangan dan ahli keluarga serta banduan di Penjara Pokok Sena, di sini disahkan positif Covid-19 bagi Kluster Tembok.

Pengarah Penjara Pokok Sena, Timbalan Komisioner Jamil Razif Kassim berkata, daripada jumlah itu, terdapat 10 kes melibatkan kakitangan penjara dan tujuh lagi adalah ahli keluarga mereka.

“Di Penjara Pokok Sena, terdapat seramai 3,420 banduan dengan 111 kes aktif Covid-19,” katanya ketika ditemui pada majlis penyampaian bantuan wang tunai sebanyak RM97,000 kepada 485 keluarga kakitangan Penjara Pokok Sena yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) sejak 11 Oktober lalu.

Sumbangan kerajaan negeri sebanyak RM200 bagi setiap keluarga itu disampaikan Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md. Nor kepada Pegawai Daerah Pokok Sena, Ahmad Bawadir Abdul Ghani di sini hari ini.

Sementara itu, kata Jamil, penularan wabak bagi kluster tersebut memerlukan kakitangan penjara mengenakan pakaian perlindungan diri (PPE) bagi mengelak dijangkiti virus Covid-19 semasa bertugas.

Katanya, keadaan itu sememangnya memberi tekanan kepada pegawai dan anggota namun masing-masing tetap komited memastikan amanah dilaksanakan sebaik mungkin.

Ujar beliau, antara usaha yang dijalankan bagi meringankan beban ditanggung adalah mengubah jadual kerja berbanding kebiasaan.

“Sebelum ini, kakitangan bekerja dalam tempoh lapan jam secara berterusan namun akibat ancaman Covid-19, kita memperkenal norma kerja baharu yang mana kakitangan bertugas dengan memakai PPE, hanya akan bertugas selama empat jam.

“Kemudian mereka dibenarkan berehat selama empat jam sebelum kembali bekerja untuk tempoh empat jam,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya