‘Bukan beli zaman saya’ - Adly - Utusan Malaysia

‘Bukan beli zaman saya’ – Adly

Adly Zahari berkongsi kenyataannya berkenaan kereta baharu Ketua Menteri di Facebook miliknya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Bekas Ketua Menteri, Adly Zahari menyangkal dakwaan warga maya kononnya pembelian kereta baharu untuk kegunaan Ketua Menteri dilakukan ketika beliau memegang jawatan itu.

Adly yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) negeri berkata, tuduhan itu fitnah kerana beliau tiada sebarang keperluan untuk membeli kenderaan baharu dan hanya menggunakan empat buah kenderaan yang digunakan daripada kerajaan sebelumnya.

Ujarnya, dalam keadaan pandemik Covid-19, sewajarnya kerajaan negeri mengutamakan rakyat dan mengamalkan sikap berjimat cermat selain membantu mereka yang kehilangan pekerjaan dan gagal melunaskan hutang selain kesan pendidikan kepada anak-anak.

“Belilah apa sahaja kenderaan yang mahu dibeli, tetapi harus mengambil kira kemampuan semasa kewangan kerajaan negeri disamping meletakkan keutamaan kepada rakyat.

“Saya tidak berminat membesarkan isu yang kecil untuk tidak dipanjangkan fitnah itu, namun sebagai peringatan kepada anak-anak muda yang baru belajar berbohong,” katanya yang memuat naik kenyataan di akaun Facebook miliknya semalam.

Terdahulu, tular di Facebook gambar sebuah kereta mewah iaitu Lexus ES250 dengan nombor pendaftaran M1 yang dikatakan kenderaan rasmi Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali dan pertukaran kenderaan baharu itu turut melibatkan kereta pegawai kanan.

Dalam satu pautan yang dikongsi Adly, beliau merujuk kenyataan dibuat melalui Facebook Pergerakan Pemuda UMNO Kota Melaka yang menyatakan, permohonan kenderaan itu dibuat Adly dan hanya diluluskan semasa pentadbiran Sulaiman ketika ini.

Dalam perkembangan sama, Adly berkata, berdasarkan rekod sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) lalu, pendapatan kerajaan negeri dilihat merosot dan dianggarkan kerajaan negeri mampu mencapai 55 peratus sahaja pendapatan daripada yang disasarkan sehingga September lalu.

“Utamakan rakyat, kalau boleh berjimat, berjimatlah dan membantu rakyat, anak-anak yang menangis kelaparan dan jiran-jiran yang tertanggung hutang yang tidak dapat melunaskan hutang mereka,” katanya.

Pada awal Mac lalu, Adly terpaksa melepaskan jawatan Ketua Menteri setelah hilang majoriti sokongan di DUN apabila Bersatu keluar daripada gabungan PH. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya