KUALA LUMPUR: Kira-kira 1,140 anggota Tentera Darat, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) diatur gerak dalam membantu pihak berkuasa menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga hari ini melalui Op Penawar.
Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang menegaskan, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sentiasa komited bekerjasama dan sentiasa mengekalkan kesiagaannya membantu negara terutama untuk memutuskan penularan rantaian pandemik Covid-19 yang kini memasuki gelombang ketiga.
Katanya, atur gerak bagi anggota akan ditambah mengikut keperluan dari semasa ke semasa terutama di kawasan-kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Bersasar (PKPDB) di Tawau, Kunak, Semporna
dan Lahad Datu, Sabah serta Perintah Kawalan Pergerakan Bersasar (PKPB) Mukim Klang, Selangor.
“Sehingga 9 Oktober, sebagai contoh Tentera Darat telah menambah 40 anggota untuk ditugaskan di kawasan zon merah di Mukim Klang.
“Kawalan persempadanan maritim dan daratan terus dipertingkat dan diperkukuhkan terutama Pantai Timur Sabah bagi mengekang kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) dari negara jiran,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Markas Angkatan Tentera semalam.
Tambah beliau lagi, ATM juga melalui Kor Kesihatan Diraja terus komited bekerjasama dengan pihak Kementerian Kesihatan dan beroperasi secara bersepadu dengan menyediakan Penasihat Teknikal di Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Kebangsaan.
“Pakar, pegawai perubatan dan pergigian, paramedik tentera, perkhidmatan ujian Real Time Reverse Transcription Polymerase Chain Reaction (RT-PCR) dan sebagainya menyokong pengoperasian Kementerian Kesihatan dalam menangani wabak Covid-19 ini,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE