PORT DICKSON: Seorang anggota polis berpangkat koperal dari Cawangan Khas Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Jelebu, dekat sini bersama isteri dan tiga anaknya yang berusia tiga tahun hingga enam tahun disahkan positif Covid-19.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop berkata, anggota berkenaan bersama isterinya berusia dalam lingkungan 30-an dan dua anak perempuan serta seorang anak lelakinya sedang mendapatkan rawatan di Hospital Rembau.
Katanya, orang awam bagaimanapun tidak perlu bimbang memandangkan kesemua tujuh anggota Cawangan Khas daripada Kontinjen Negeri Sembilan yang bertugas sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah dikuarantin mengikut prosedur operasi standard (SOP) sebaik sahaja tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
“Enam lagi dikuarantin di Kuala Lumpur manakala anggota ini pula dikuarantin di rumahnya bersama keluarga.
“Kesemuanya hanya berada di rumah dalam tempoh berkenaan dengan keperluan termasuk makanan disediakan oleh IPD Jelebu,” katanya selepas Majlis Peringatan 100 Tahun Pondok Polis Pengkalan Kempas, Linggi, dekat sini, hari ini.
Sementara itu, Mohamad menasihatkan orang ramai untuk terus mematuhi SOP serta mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengelak penularan Covid-19.
Menurutnya, walaupun Covid-19 masih dalam keadaan terkawal di negeri ini, senario berkenaan tidak boleh dipandang mudah.
“Setiap daripada kita memainkan peranan masing-masing untuk menjaga diri, keluarga dan masyarakat. Patuh SOP dan amalkan langkah berjaga-jaga,” katanya. – UTUSAN ONLINE










