Along suruh peminjam tandatangan borang kosong - Utusan Malaysia

Along suruh peminjam tandatangan borang kosong

IKLAN haram termasuk menawarkan pinjaman wang boleh ditemui di persimpangan jalan lampu isyarat di negara ini. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Tindakan melulu peminjam ah long menandatangani borang perjanjian kosong tanpa mengetahui butirannya memakan diri.

Akibatnya aset-aset berharga terutama rumah dan tanah tergadai yang nilainya lebih tinggi daripada pinjaman.

Modus operandi ah long adalah menyediakan kertas kosong mengandungi tandatangan peminjam yang kemudian dicetak terma, syarat dan jumlah ansuran perlu dibayar sehingga amaunnya tidak masuk akal, termasuk merampas dokumen jual beli rumah serta hartanah mangsa.

Malah, ada kad pengeluaran wang automatik (ATM) peminjam dipegang ah long yang kemudian dijadikan ‘keldai akaun’ untuk sindiket melakukan kegiatan haram lain termasuk pinjaman tidak wujud.

Mendedahkan kepada Utusan Malaysia, Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Datuk Mohd. Kamarudin Md. Din berkata, dalam sesetengah kes dilaporkan tanah dan rumah mereka sudah dijual selepas gagal melunaskan pinjaman.

Kata beliau, sindiket ah long menggunakan nombor telefon yang didaftarkan atas nama orang lain untuk berhubung dengan peminjam bagi menyembunyikan identiti mereka.

Jelasnya, mangsa diarah membayar faedah dalam akaun bank milik individu tertentu supaya mereka tidak boleh dikesan malah tiada resit bagi mengesahkan pembayaran tersebut.

“Mangsa yang gagal atau sering lewat bayar faedah terjerat dengan pelbagai helah ah long untuk menuntut bayaran sehingga peminjam berhadapan pelbagai ancaman termasuk bunuh,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Mohd. Kamarudin berkata, statistik 2019 hingga 15 Oktober tahun ini, sebanyak 2,037 kertas siasatan dibuka membabitkan kes ah long dengan jumlah pinjaman RM42.43 juta.

Daripada jumlah itu, 1,220 kes dilaporkan tahun lalu dengan nilai pinjaman RM18.1 juta manakala 817 kertas siasatan lagi dibuka dalam tempoh 10 bulan tahun ini dengan nilai pinjaman RM24 juta.

“Dalam tempoh sama sebanyak 1,468 kes masih dalam siasatan selain 425 kertas siasatan dituduh di mahkamah.

“Polis melakukan 1,815 tangkapan membabitkan ahli sindiket ah long dengan 483 individu sudah dituduh,” jelasnya.

Mohd. Kamarudin tidak menafikan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan Mac lalu, ada yang mengambil jalan singkat dengan meminjam ah long selepas terputus punca pencarian.

Namun kata beliau, jenayah membabitkan ah long menurun kerana sindiket tidak begitu agresif memberi pinjaman kerana pergerakan terbatas selain memerlukan modal besar untuk menjalankan aktiviti tersebut.

“Dalam apa juga keadaan, jangan sesekali membuat pinjaman dengan ah long kerana sindiket itu terdiri dalam kalangan samseng dan mereka menggenakan faedah atau bunga tidak munasabah sehingga memberi masalah lebih teruk kepada peminjam,” katanya.

Mingguan Malaysia baru-baru ini mendedahkan aktiviti syarikat pemberi pinjaman wang berlesen dan ceti haram atau ah long terjejas ketika tempoh PKP.

Ketua Biro Pengaduan dan Perkhidmatan Awam MCA, Datuk Seri Michael Chong berkata, selama ini kerajaan hanya fokus kepada ekonomi sah yang terjejas sebaliknya aktiviti jenayah seperti ah long turut menerima tempias.

Kesimpulan tersebut berdasarkan aduan keganasan membabitkan ah long yang menurun hampir 50 peratus atau 250 kes tahun ini berbanding 550 kes tahun lalu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN