3 kilometer Pantai Cermin yang tercemar sisa minyak ditutup untuk pembersihan - Utusan Malaysia

3 kilometer Pantai Cermin yang tercemar sisa minyak ditutup untuk pembersihan

KEJADIAN tumpahan minyak yang mencemarkan Pantai Cermin, Batu 10, Port Dickson sejak Isnin lalu. - GAMBAR IHSAN JABATAN ALAM SEKITAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON: Pantai Cermin, Batu 10 dekat sini, ditutup selama dua minggu kepada orang awam bagi membolehkan kerja-kerja pembersihan dijalankan di sepanjang tiga kilometer pantai itu ekoran tumpahan minyak yang berlaku sejak Isnin lalu.

Malah kerajaan negeri giat melaksanakan kerja tersebut dengan mendapat bantuan daripada pelbagai agensi kerajaan dan syarikat swasta.

Pegawai Daerah Port Dickson, Khairy Maamor berkata, pantai tersebut yang menjadi tumpuan orang awam dan nelayan hanya akan dibuka selepas kerja pembersihan sisa-sisa minyak selesai dan keadaan persekitaran kembali pulih.

“Bagi memastikan kerja-kerja pembersihan dapat dilakukan dengan segera, pihak kami bekerjasama dengan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD), Ibu Pejabat Polis Daerah Port Dickson, Jabatan Kerja Raya dan Jabatan Alam Sekitar (JAS).

“Turut serta ialah Angkatan Pertahanan Awam (APM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Tenaga Nasional Berhad (TNB) serta Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela),” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.

Isnin lalu, JAS Negeri Sembilan menerima laporan mengenai kejadian tumpahan minyak daripada Jabatan Laut Negeri Sembilan yang kemudiannya mencemari sepanjang tiga kilometer di Pantai Cermin termasuk kawasan pokok bakau berdekatan.

Aduan pencemaran tersebut juga diterima daripada pengusaha hotel, nelayan dan penduduk sekitar.

Hasil siasatan JAS mendapati kawasan sepanjang pantai telah dicemari dengan sisa minyak dan berbau kuat namun sehingga kini punca tumpahan minyak tersebut masih belum dapat dikenal pasti dan masih dalam siasatan.

Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Melaka dan Negeri Sembilan turut memaklumkan kesan minyak itu ditemui ketika bot peronda Maritim Malaysia melakukan rondaan kira-kira pukul 11 pagi.

Tumpahan minyak dikesan sehingga ke pantai Tanjung Tuan serta Teluk Kemang bagaimanapun, pemantauan dan rondaan di sekitar lokasi kejadian, tiada kelihatan kapal melakukan kerja- kerja pembuangan minyak ke laut.

Difahamkan, insiden pencemaran sepanjang tiga kilometer di pesisir Pantai Cermin adalah kes kali kedua direkodkan selepas kejadian pertama pada 2009.

Pada 2016, berlaku kejadian tumpahan minyak berhampiran jeti Shell Refining Company Port Dickson (SRC) di Batu 1, Jalan Pantai Port Dickson yang berpunca daripada tambatan boya tunggal (SBM).

Sementara itu, jelas Khairy, seramai 90 orang terdiri daripada kakitangan jabatan kerajaan dan swasta terlibat dalam operasi pembersihan pantai tersebut sejak dimulakan kelmarin.

Tinjauan Utusan Malaysia semalam mendapati operasi pembersihan pantai rancak dilaksanakan dengan penggunaan pelbagai jentera serta pembersihan secara manual.

Selain pembersihan tumpahan minyak di kawasan pesisiran pantai, kerja-kerja membersihkan sisa pencemaran turut ditumpukan di kawasan kayu bakau. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN