224 individu ditahan tidak pakai pelitup muka - Utusan Malaysia

224 individu ditahan tidak pakai pelitup muka

ISMAIL SABRI YAAKOB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

PUTRAJAYA: Kesalahan ingkar Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) masih lagi tinggi apabila seramai 585 individu ditahan Polis Diraja Malaysia (PDRM) semalam dengan 569 individu telah dikompaun, manakala 13 individu pula direman dan tiga lagi dijamin.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, antara kesalahan itu ialah tidak memakai pelitup muka (224), penjarakan fizikal (199), gagal menyediakan peralatan atau merekod butiran diri (96) dan lain-lain kesalahan (66). 

“Sebanyak 54,804 pemeriksaan dilakukan melalui Task Force Operasi  Pematuhan melibatkan 3,105 Pasukan Pematuhan yang terdiri  daripada 12,666 anggota. 

“Task Force akan terus mempertingkatkan pemeriksaan serta  mengambil tindakan ke atas pemilik premis dan orang awam yang  tidak mematuhi SOP PKPP yang ditetapkan,” katanya dalam sidang akhbar, di sini hari ini.

Ismail Sabri berkata, Operasi Benteng juga berjaya menahan 27 pendatang asing tanpa izin (PATI) serta  berjaya merampas lapan kenderaan darat melalui 297 sekatan jalan raya.

Katanya, pada waktu ini, Operasi Benteng lebih memfokuskan kepada  pendekatan pengusiran terhadap PATI berbanding tangkapan. 

“Sehingga semalam, seramai 53,659 individu telah pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan  antarabangsa. Daripada jumlah itu, seramai 8,378 individu sedang menjalani  kuarantin wajib di 67 hotel.  

“Seramai 381 individu pula telah dibawa ke hospital untuk rawatan manakala 44,900 individu telah dibenarkan pulang ke  rumah,” katanya.

Dalam pada itu, kata Ismail Sabri berkata, Lembaga Pembangunan Industri  Pembinaan Malaysia (CIDB) telah membuat pemeriksaan di 131  tapak binaan di seluruh negara.

Jelas beliau, daripada pemeriksaan itu mendapati sebanyak 86 tapak  pembinaan mematuhi SOP yang telah ditetapkan, manakala 45  tapak lagi tidak beroperasi. 

Ismail Sabri turut memberitahu, kerajaan membuat keputusan untuk menamatkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Secara Pentadbiran (Temco) di  Asrama Pekerja Tropicana Petaling Jaya yang berakhir semalam.

Katanya, sehingga semalam, Kementerian Kesihatan telah membuat sebanyak 503  saringan di lokaliti itu dan sebanyak 23 kes positif  direkodkan.

“Kesemua kes positif itu telah pun menerima rawatan di hospital  manakala kontak rapat telahpun diarahkan menjalani kuarantin  wajib.

“Walaupun Temco di situ ditamatkan, namun lokaliti ini masih tertakluk di bawah pelaksanaan PKP Bersyarat (PKPB) bagi seluruh Selangor,” katanya. -UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya