UUM tangguh pendaftaran masuk mahasiswa - Utusan Malaysia

UUM tangguh pendaftaran masuk mahasiswa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUBANG PASU: Universiti Utara Malaysia (UUM) menangguhkan pendaftaran kemasukan secara fizikal bagi mahasiswa baharu dan lama selepas pihak pentadbirannya mendapatkan pandangan Majlis Keselamatan Negara (MKN) berikutan penularan Covid-19 di negeri ini.

Timbalan Naib Canselor Bahagian Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Profesor Madya Dr. Hendrik Lamsali berkata, bagi pelajar baharu semester pertama sesi 2020/2021, pendaftaran kemasukan secara fizikal yang sepatutnya dijadualkan pada 5 hingga 6 Oktober ini ditangguhkan ke 23 hingga 24 Oktober 2020.

“Bagaimanapun proses minggu suai kenal pelajar baharu yang ditetapkan pada 7 hingga 8 Oktober 2020 berjalan seperti biasa secara atas talian mengikut jadual program ditetapkan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, bagi pelajar lama, pendaftaran kemasukan mereka yang dijadualkan pada 7 hingga 8 Oktober 2020 ditangguhkan ke 29 hingga 31 Oktober 2020.

“Sesi pengajaran dan pembelajaran (PDP) bagaimanapun akan berjalan seperti biasa secara atas talian sebelum tarikh kemasukan mereka secara fizikal ke kampus iaitu pada 11 Oktober ini,” katanya.

Hendrik menambah, pihaknya mendapatkan pandangan MKN di bawah Warta Kerajaan Persekutuan Peraturan-Peraturan Pencegahan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

“Pihak pengurusan universiti prihatin mengenai keselamatan para pelajar dan amat cakna dengan perkembangan semasa di negeri ini,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, perkara itu tertakluk kepada sebarang perubahan baharu atau pekeliling universiti dari semasa ke semasa. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya