SUNGAI PETANI: Seramai 170 penduduk di Ladang UP Bahagian Bukit Selambau, di sini mengharapkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menunaikan janji memasang Unifi bagi kemudahan penduduk di kawasan tersebut.
Kebanyakan penduduk di ladang itu tidak sabar menggunakan kemudahan berkenaan memandangkan mereka selama ini menghadapi masalah capaian internet dan liputan telekomunikasi yang lemah.
Seorang penduduk, V. Barathidasa, 26, berkata, pelbagai pihak termasuk SKMM memasuki kawasan berkenaan selepas Utusan Malaysia menyiarkan laporan mengenai masalah capaian internet yang lemah.
Katanya, pihak berkenaan juga sudah meninjau dan memeriksa tahap capaian internet di situ.
“Saya berharap usaha SKMM tidak terhenti setakat ini berikutan penduduk tidak sabar mahu menikmati kemudahan internet dengan segera,” katanya di sini semalam.
Kelmarin, Utusan Malaysia melaporkan Ahli Parlimen Merbok, Nor Azrina Surip memberitahu, SKMM bekerjasama dengan Telekom Malaysia Bhd. (TM) dengan memasang Unifi bagi menyelesaikan masalah capaian internet yang lemah di kawasan itu
Sebelum itu, Mingguan Malaysia pada 20 September lalu melaporkan, setelah sekian lama berhadapan dengan masalah akses internet, penduduk di Ladang UP Bukit Selambau mengambil inisiatif membina menara telekomunikasi mereka sendiri.
Sementara itu, seorang kerani di syarikat ladang itu dikenali Jayanthi, 40, berkata, pihak terbabit diharapkan dapat mengambil tindakan segera menangani masalah berkenaan disebabkan penduduk termasuk pelajar menghadapi banyak kesulitan berikutan ketiadaan kemudahan internet.
“Sudah tiba masanya masalah ini diselesaikan sekali gus menamatkan kesulitan kami selama ini,” katanya.
Dalam pada itu, SKMM dalam satu kenyataan baru-baru ini memaklumkan, pihaknya telah turun padang ke kawasan berkenaan pada 20 September lepas bagi menyiasat aduan dibangkitkan penduduk.
Menurut mereka, satu pertemuan antara MCMC dengan komuniti setempat diadakan bagi memahami keperluan dan kehendak penduduk di kawasan berkenaan. – UTUSAN ONLINE










