fbpx

Tegas tanpa kompromi

MOHD. Sani Ishak (duduk, lima dari kanan) bersama ahli PKVTTB selepas selesai mesyuarat jawatan kuasa pertubuhan itu di Dewan Felda Mempaga 1, Bentong, Pahang, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BENTONG: Kerajaan negeri diminta bertegas tanpa sebarang kompromi bagi ‘membebaskan’ tanah Raub, dekat sini daripada cengkaman penceroboh hutan untuk tanaman durian Musang King yang menjadi isu nasional di daerah berkenaan.

Yang Dipertua Pertubuhan Kumpulan Veteran Tentera Tidak Berpencen (PKVTTB) negeri, Mohd. Sani Ishak menegaskan, lebih 1,500 ahlinya menolak dengan tegas sebarang penyelesaian situasi menang-menang dalam isu berkenaan.

Tegasnya, ini kerana penceroboh hutan di Raub me­ngaut keuntungan jutaan ringgit selama berpuluh tahun tanpa membayar cukai kepada kerajaan.

“PKVTTB Pahang dan rakyat negeri ini mahu semua penceroboh tanah haram di Raub dikenakan hukuman mengikut lunas undang-undang.

“Tiada alasan menghalalkan pencerobohan tanah kerajaan yang jelas mengganggu ekosistem kawasan tadahan air di situ dan ketirisan sumber kekayaan negeri,” katanya kepada Utusan Malaysia selepas mesyuarat Jawatankuasa PKVTTB di Dewan Felda Mempaga 1 di sini semalam.

Mohd. Sani menegaskan, jika tindakan penceroboh hutan di Raub dihalalkan, ia memberi mesej salah kepada rakyat yang selama ini berpegang teguh terhadap prinsip kedaulatan undang-undang.

Dalam hal ini ujarnya, PKVTTB menyokong tindakan kerajaan negeri pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yang bertegas me­ngarah pekebun Musang King di Raub mengosongkan tanah di­teroka mereka secara haram.

Beliau berkata, tanah kerajaan yang diteroka secara haram itu suatu ketika dahulu kawasan ‘hitam’ malah ada ahli PKVTTB cedera bertempur dengan pengganas komunis di situ.

“Alangkah baiknya jika ta­nah-tanah subur ini diagih-­agihkan kepada veteran tentera kerana masih ramai yang tidak bertanah.

“Atau alternatif lain kawasan itu dipelihara dan dipulihara untuk mengembalikan ekosistem hutan yang dirosakkan penceroboh berkenaan,” kata­nya. – UTUSAN ONLINE

POPULAR

KOSMO! TERKINI