Suami maut, isteri patah kaki dirempuh kereta - Utusan Malaysia

Suami maut, isteri patah kaki dirempuh kereta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki maut manakala isterinya cedera selepas motosikal ditunggang mereka dirempuh sebuah kereta di Kilometer 2.2, Lebuh Raya SILK arah ke Balakong, kelmarin.

Kejadian berlaku kira-kira pukul 12.15 tengah malam apabila mangsa dan isteri yang menunggang Yamaha Y15 dalam perjalanan dari Seri Kembangan ke Balakong.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd. Zaid Hassan berkata, bagaimanapun, ketika sampai di tempat kejadian, motosikal terbabit yang berada di lorong kanan dikatakan mengubah laluan ke lorong tengah sebelum dilanggar dari belakang oleh sebuah Mini Cooper yang berada di lorong itu.

“Kedua-dua penunggang motosikal terhumban ke atas jalan dan mengalami kecederaan sebelum dikejarkan ke Hospital Serdang untuk rawatan.

“Bagaimanapun pada jam 5.40 petang semalam, kita dimaklumkan penunggang motosikal berusia 27 tahun yang cedera parah di kepala disahkan meninggal dunia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, menurut Mohd. Zaid, pemandu kereta berusia 23 tahun itu tidak mengalami sebarang kecederaan dan kini ditahan di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang untuk membantu siasatan.

Katanya, isteri mangsa yang patah kaki kini dirawat di Hospital Serdang dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Ujian awal yang dijalankan ke atas pemandu terbabit mendapati tiada kesan alkohol pada pernafasannya.

“Bagaimanapun, sampel darah lelaki itu diambil untuk ujian bagi menentukan sama ada dia memandu di bawah pengaruh dadah atau alkohol ketika kejadian atau sebaliknya,” ujarnya.

Semalam, tular beberapa gambar kemalangan serta mendakwa kemalangan itu mungkin berpunca daripada pemandu mabuk.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya