PASIR GUDANG : Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim bertitah, sekolah pendidikan khas adalah satu perkara yang amat dekat di hati baginda dan keluarga.
Titah Tunku Ismail, pendidikan adalah hak untuk semua rakyat tidak mengira kaum atau agama mahupun keupayaan dengan baginda menegaskan setiap anak Johor berhak mendapat pendidikan asas yang baik.
Baginda bertitah, pembangunan insan yang berilmu dan beradab terutamanya untuk anak-anak rakyat Johor perlu dilaksanakan di ruang pengajaran dan pembelajaran yang kondusif dan selamat ketika wabak Covid-19 masih berterusan.
“Saya telah mengemukakan beberapa persoalan mengenai pelaksanaan Prosedur Operasi Standard (SOP) dan Pengajaran dan Pembelajaran (PdP).
“Diharapkan agensi-agensi berkaitan mengambil maklum mengenai isu-isu tersebut untuk memastikan proses pengajaran dan pembelajaran yang terbaik untuk anak-anak Johor,” titah baginda dalam Facebook HRH Crown Prince Of Johor hari ini.
Baginda turut menasihatkan Jabatan Agama Islam dan Jabatan Pendidikan serta Jabatan Kesihatan untuk sentiasa memantau sekolah-sekolah di seluruh negeri Johor agar SOP diikuti dan dilaksanakan dengan kesan minima terhadap proses PdP.
Terdahulu, Tunku Ismail memaklumkan bahawa baginda dan isteri, Che Puan Khaleeda Bustamam serta anak-anak baginda melawat Sekolah Agama Taman Kota Masai di sini.
Baginda bertitah ia bertujuan untuk meninjau proses PdP di sekolah agama Johor dan melihat pelaksanaan SOP pencegahan penularan jangkitan covid-19 serta hala tuju pendidikan agama untuk kelestarian anak-anak rakyat negeri Johor dalam membina ilmu agama.
“Kami juga berpeluang berjumpa dengan murid-murid dari Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas Princess Elizabeth dan Sekolah Agama Pendidikan Khas Johor Bahru.
“Kedua-dua sekolah ini masing-masing ditubuhkan untuk memenuhi keperluan pembelajaran khas bagi anak-anak rakyat Johor yang mengalami masalah penglihatan, pendengaran, pertuturan dan autisme,” titah Tunku Ismail.-UTUSAN










