Perlekeh pasukan keselamatan dorong anasir luar ganggu keamanan - Utusan Malaysia

Perlekeh pasukan keselamatan dorong anasir luar ganggu keamanan

MUSA HASSAN (tiga, dari kanan) dan Prof. Dr. Mohamed Ridza (dua,dari kanan) mengibarkan Jalur Gemilang pada Majlis Penutup Bulan Kebangsaan, USIM di Nilai dekat sini, hari ini.-UTUSAN/ZAKKINA WATI AHMAD TARMIZI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Tindakan pihak tertentu yang cuba memperlekehkan pasukan keselamatan boleh mendorong usaha pihak luar mengambil kesempatan  menganggu 

keamanan negara. 

Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan menjelaskan, anasir luar akan datang ke negara ini untuk  melakukan tindakan tertentu kerana beranggapan mereka mendapat sokongan daripada pihak-pihak berkenaan atau pemimpin tertentu.

“Perkara ini perlu diambil tindakan kerana ia suatu kesalahan dan terdapat undang-undang terhadap tindakan memperlekehkan penjawat awam, menghina polis dan tentera dan ini adalah satu kesalahan.

“Tindakan boleh diambil di bawah Akta Polis dan juga di bawah Undang-undang Angkatan Tentera serta Kanun Keseksaan (KK)” katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Penutup Bulan Kebangsaan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di Nilai, dekat sini hari ini. 

Yang turut hadir, Naib Canselor USIM, Prof. Dr. Mohamed Ridza Wahiddin. 

Sebelum ini, bekas Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi mendakwa pencerobohan Kampung Tanduo, Lahad Datu oleh pengganas Sulu sebagai sandiwara dan hanya peperangan bersama ‘ayam’ dan ‘anjing’.

Mengulas lanjut, Musa yang merupakan Ahli Lembaga Pengarah, USIM berkata, tindakan berkenaan sepatutnya tidak berlaku jika semua pihak peka dengan pengorbanan anggota pasukan keselamatan dalam menjaga keamanan negara.

“Sepatutnya pemimpin bertanggungjawab menjaga keamanan negara dan jika sikap memperlekehkan anggota pasukan keselamatan, ia boleh melemahkan semangat anggota polis dan tentera. Ini sepatutnya tidak berlaku dan tidak sepatutnya keluar daripada mulut seorang pemimpin masyarakat ataupun wakil rakyat.

“Dalam kes Lahad Datu, sembilan anggota keselamatan mati dan mereka juga diperlakukan secara kejam,” katanya berharap tindakan seperti itu tidak berulang pada masa depan lebih-lebih lagi membabitkan pemimpin masyarakat.

Tambah Musa lagi, rakyat mahu negara ini bebas dari segala anasir tidak baik bagi menjamin keamanan dan kesejahteraan yang dinikmati ketika ini terus kekal.

“Saya rasa rakyat dari semua kaum tidak mahu negara ini bergolak sebaliknya mahukan keamanan kekal. Tetapi ada pihak yang cuba mainkan sentimen atau tuntutan atau hak-hak tertentu mengikut kaum, ini tidak harus berlaku kerana rakyat perlu menghormati antara satu sama lain dan bersatu,” katanya. 

Sementara itu, Mohamed Ridza dalam ucapannya memaklumkan, sebanyak 10 aktiviti telah dijalankan oleh USIM sepanjang sambutan bulan kemerdekaan bermula 28 Julai lalu.

“Antara program yang dijalankan termasuk pertandingan poster kebangsaan, pertandingan jabatan patriotik dan festival koir kemerdekaan

“Sempena majlis penutup, turut diadakan perkongsian daripada Tan Sri Musa Hassan mengenai pengalaman ketika menerajui institusi keselamatan negara demi menjaga kedaulatan dan kemerdekaan negara,” katanya. -UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya