fbpx

7 Mei 2021, 12:34 am

  TERKINI

Nelayan jatuh sungai dijumpai mati lemas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT: Seorang nelayan yang dilaporkan hilang selepas terjatuh ke dalam Sungai Dinding ketika sedang menangkap ikan malam tadi ditemukan mati lemas hari ini.

Mangsa, Azrin Hamidun, 30-an, dilaporkan terjatuh di perairan Kota Siam di Sungai Dinding, Segari dekat sini kira-kira pukul 8 malam dan ditemukan kira-kira empat kilometer dari lokasi dilaporkan hilang pada pukul 8.10 pagi ini.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung menerima panggilan orang awam yang memberitahu seorang lelaki jatuh ke dalam sungai ketika sedang menarik bubu naga di perairan tersebut.

“Berikutan itu, polis melancarkan usaha mencari dan menyelamat (SAR) bersama pasukan bomba dan penyelamat di Jeti Kampung Telaga Nenas.

“Pada pukul 8.10 pagi ini, mayat mangsa dijumpai terapung oleh nelayan di Sungai Dinding dan dibawa ke jeti tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Katanya, mayat dibawa ke Unit Forensik Hospital Seri Manjung untuk dibedah siasat bagi mengetahui punca kematian.

Beliau berkata, setakat ini kes itu diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, berkata seramai 12 anggota Balai Bomba dan Penyelamat Ayer Tawar, tujuh anggota polis dan empat anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) serta nelayan tempatan terlibat dalam operasi SAR berkenaan. – UTUSAN ONLINE