Maut rempuh treler rosak di lorong kecemasan - Utusan Malaysia

Maut rempuh treler rosak di lorong kecemasan

SITI Ida Aminah Abdul Mahat menunjukkan mesej yang dihantar Muhamad Hafiz Abd. Kadir @ Roslan di pekarangan Unit Forensik, Hospital Tampin, Tampin, Negeri Sembilan, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

REMBAU: Seorang penunggang motosikal maut selepas merempuh bahagian belakang sebuah treler yang rosak di Kilometer 235.5 Lebuhraya Utara Selatan (arah Utara), dekat sini, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 8.30 malam itu, Muhamad Hafiz Abd. Kadir @ Roslan, 21, yang beralamat di Batu 18 Sengkang Bukit Gambir, Tangkak Johor disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian selepas mengalami kecederaan parah di bahagian dada dan kepala.

Ketua Polis Daerah, Deputi Superintenden Anuar Bakri Abdul Salam berkata, kemalangan berkenaan melibatkan dua buah kenderaan iaitu motosikal jenis Yamaha LC 135 yang ditunggang mangsa dan treler jenis Scania.

“Berdasarkan siasatan awal, sebaik sahaja tiba di lokasi kejadian mangsa telah hilang kawalan lalu merempuh bahagian belakang treler yang sedang parkir di lorong kecemasan kerana mengalami kerosakan.

“Susulan rempuhan berkenaan, mangsa yang mengalami kecederaan parah meninggal dunia di tempat kejadian. Mayat dibawa ke Hospital Tampin untuk bedah siasat,” katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.

Anuar Bakri berkata, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Sementara itu, ibu mangsa, Siti Ida Aminah Abdul Mahat, 42, berkata, arwah adalah anak kedua daripada tujuh beradik dan ketika kejadian anaknya itu dalam perjalanan dari rumah mereka di Bukit Gambir ke tempat kerja di Bangi, Selangor.

Menurutnya, anaknya itu bekerja sebagai sub kontraktor syarikat penyelenggaraan lebuh raya serta pulang ke kampung kerana ingin bertemu dengan dua adiknya yang masih kecil berusia dua dan empat tahun.

“Kali ini, Hafiz agak pendiam bila pulang ke kampung. Apa yang membuatkan saya sebak, kira-kira dua minggu lalu Hafiz menghantar mesej menerusi aplikasi WhatsApp menyatakan mahu menjadi anak yang lebih baik.

“Dia nak ubah hidup supaya menjadi lebih baik dan saya menyatakan kepadanya, saya sentiasa mendoakan yang baik buatnya dan anak-anak yang lain,” katanya ketika ditemui di pekarangan Unit Forensik, Hospital Tampin, hari ini. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya