IPOH: Persatuan Warisan Perak (PHS) membantah sebarang projek menaik taraf di Padang Ipoh kerana tindakan tersebut dikhuatiri merosakkan keindahan serta nilai warisan padang berusia 130 tahun itu yang menyaksikan banyak peristiwa bersejarah dan penting berlaku di bandar ini.
Walaupun kelulusan pembangunan diberi namun selaku pihak berkuasa tempatan (PBT) di situ, Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) masih boleh membatalkan kerja-kerja tersebut mengikut bidang kuasa yang
ada.
Ahli Jawatankuasa PHS, Mohd. Taib Mohamed berkata, Padang Ipoh sepatutnya dikekalkan seperti keadaan sedia ada kerana nilai warisannya.
Katanya, cadangan membina layar utama untuk memaparkan Ipoh kononnya bagi menarik kunjungan pelancong ke bandar ini juga tidak perlu.
“Adalah lebih baik MBI membaiki papan-papan iklan sedia ada di sekitar bandar maklumat berkaitan pelancongan atau bandar ini.
“Meskipun projek tersebut dibiayai pihak lain, MBI selaku PBT tidak wajar hanya melihat daripada aspek pembangunan. Sama ada kecil atau besar, kerosakan Padang Ipoh bakal dikesali generasi akan datang di bandar ini,” ujarnya di sini semalam.
Kelmarin, sekumpulan individu yang menggelarkan diri sebagai Kumpulan Penduduk Bandar Ipoh menyerahkan memorandum kepada kerajaan negeri bagi membantah projek yang hendak dibangunkan di Padang
Ipoh.
Kumpulan itu berkata, Padang Ipoh adalah warisan bandar raya itu yang perlu dipertahankan.
Gesaan sama disuarakan Historuism, sebuah badan bebas yang giat melakukan penyelidikan dan mempromosikan pelancongan sejarah negara.
Kata pengasasnya, Mohd. Fareq Rizal Mohd. Fisal, pihak berkuasa sepatutnya mencontohi negara jiran seperti Thailand dan Indonesia yang sensitif dengan kawasan warisan serta bersejarah.
“Mungkin Padang Ipoh belum diwartakan sebagai tapak warisan tetapi tidak bermakna pihak berkuasa bebas menjalankan kerja- kerja pembangunan,” tegasnya.
Difahamkan, satu projek cahaya dan bunyi hendak dibangunkan di Padang Ipoh dengan kos RM3 juta yang dibiayai Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA). – UTUSAN ONLINE










