Kawasan hutan perlu dilindungi - PM - Utusan Malaysia

Kawasan hutan perlu dilindungi – PM

MUHYIDDIN YASSIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan, khazanah hutan penting dalam pembangunan sosioekonomi dan kestabilan alam sekitar selain sangat mustahak untuk kelangsungan hidupan liar supaya tidak terus terancam.

Beliau berkata, dalam usaha itu, kerajaan akan melaksanakan Program Penghijauan Malaysia melalui Kempen Penanaman 100 Juta Pokok di seluruh negara di bawah Rancangan Malaysia Ke-12.

Menurut beliau, satu kerangka kewangan inovatif akan dilaksanakan bertujuan menyediakan insentif kewangan kepada semua kerajaan negeri bagi melindungi dan memelihara kawasan berhutan.

“Saya menyuarakan kebimbangan mengenai populasi Harimau Malaya yang menurut dapatan awal Survei Harimau Kebangsaan Pertama menunjukkan hanya terdapat antara 130 hingga 140 ekor. Jika jumlah itu menurun kepada kurang daripada 100 ekor, spesies tersebut akan diancam kepupusan dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang.

“Justeru itu, saya meminta semua kerajaan negeri mengambil langkah proaktif melindungi kawasan yang dikenal pasti sebagai habitat utama Harimau Malaya supaya spesies tersebut tidak diancam kepupusan,” katanya dalam laman Facebook beliau hari ini.

Terdahulu, beliau mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tanah Negara ke-77 yang antara lain bagi membincangkan hal berkaitan dasar negara dalam mengurus, memaju dan mengawal penggunaan tanah untuk tujuan perlombongan, pertanian serta perhutanan.

Dalam mesyuarat tersebut, Perdana Menteri menekankan mengenai kepentingan penggunaan dan pengurusan sumber asli yang cekap dan bijaksana yang akan menyumbang kepada kesejahteraan negara dan rakyat sejajar Matlamat Pembangunan Mampan dan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.

“Saya juga membangkitkan tentang peranan penting yang perlu dimainkan oleh Kerajaan Persekutuan dan negeri dalam memastikan sekurang-kurangnya 50 peratus daripada keluasan tanah negara dikekalkan sebagai kawasan berhutan dan dilitupi pokok.

“Ini selaras komitmen negara di Sidang Kemuncak Bumi di Rio de Janeiro pada 1992. Ketika ini, hutan tropika di Malaysia adalah berkeluasan 18.27 juta hektar atau 55.31 peratus,” katanya.
Dalam pada itu, Perdana Menteri membangkitkan tentang kepentingan mempercepat proses penyampaian perkhidmatan menerusi pendigitalan dalam pengurusan tanah, hutan dan sumber mineral.

Kata beliau, langkah itu seiring amalan norma baharu dalam masyarakat seperti mana sistem e-Tanah yang diguna pakai di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur ketika ini.

“Saya juga mengambil maklum mengenai Pelan Transformasi Industri Mineral Negara 2020-2030 yang sedang dibangunkan oleh Kementerian Tenaga dan Sumber Asli bagi memajukan lagi potensi sektor mineral negara.

“Saya yakin pelan ini mampu merancakkan semula industri mineral secara holistik terutama penumpuan terhadap pembangunan sektor mineral pada peringkat pertengahan dan hiliran di negara ini berasaskan prinsip perlombongan mampan.

“Hasrat ini akan disokong oleh pewujudan semula Majlis Mineral Negara yang akan bertindak sebagai platform konsultasi utama antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri bagi kepentingan bersama industri mineral,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya